Saya tidak akan melaburkan jumlah wang besar tanpa sebab munasabah - Ariff Bahran - Utusan Malaysia

Saya tidak akan melaburkan jumlah wang besar tanpa sebab munasabah – Ariff Bahran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ariff Bahran mendedahkan telah mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit selepas ditipu oleh pihak penganjur yang kononnya berjanji membawa masuk kumpulan terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7) untuk mengadakan konsert di Malaysia.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads, Ariff atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari berkata, kerugian tersebut berlaku selepas individu terbabit gagal menunaikan janji seperti yang dipersetujui.

Katanya, individu itu juga malah menghilangkan diri tanpa memulangkan wang pelaburan.

Menurut penyanyi lagu Kata Akhirmu itu, dia mengakui kesilapannya sebagai pendatang baharu dalam dunia penganjuran acara dan menganggap insiden tersebut sebagai satu pengajaran besar dalam hidupnya.

“Saya mengaku saya masih baru dalam industri ini. Saya telah belajar daripada kesilapan dan berharap orang ramai dapat mengekalkan rasa hormat, terutamanya daripada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Ariff turut menegaskan bahawa keputusan melaburkan wang yang besar dibuat selepas pertimbangan tertentu dan bukan dilakukan secara semberono.

“Saya mempunyai alasan yang kukuh dan tidak akan melaburkan jumlah yang besar tanpa sebab yang munasabah,” ujarnya.

Terdahulu, seorang penganjur konsert berpengalaman, Iman Tang, menerusi hantaran di Instagram Story dilaporkan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu luar.

Ia terutamanya apabila melibatkan penganjuran konsert berskala besar.

Hantaran tersebut turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mendakwa ia berkait rapat dengan pendedahan Ariff.

Malah ada yang mengkritik tindakannya kerana didakwa terlalu mudah mempercayai pihak yang tidak dikenali.

Pada Selasa lalu, Ariff mendedahkan dia bersama rakan-rakannya mengalami kerugian sebanyak RM425,000 selepas menjadi mangsa penipuan penganjur acara yang gagal melaksanakan projek konsert berkenaan seperti dijanjikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN