Road to Vandetta, pembuka laluan Jeffrey Ngai ke layar perak - Utusan Malaysia

Road to Vandetta, pembuka laluan Jeffrey Ngai ke layar perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Filem aksi kolaborasi Hong Kong dan Jepun, Road to Vendetta, yang menemui penonton Malaysia sejak 11 Disember lalu menyaksikan kemunculan rasmi pelakon utamanya, Jeffrey Ngai, 27, di Kuala Lumpur buat pertama kali.

Diterbitkan hasil idea dan arahan pengarah muda Hong Kong yang sedang meningkat naik, Njo Kui Ying, filem berkenaan mengambil masa tujuh tahun untuk dibangunkan.

Difahamkan, ia juga berjaya mencuri perhatian di peringkat serantau menerusi gandingan dua negara serta aura pelakon utamanya yang sering dibandingkan dengan bintang Hong Kong era awal 2000-an, Edison Chan.

Bagi memeriahkan tayangan di Malaysia, Jeffrey hadir ke ibu negara untuk menyertai pelbagai acara promosi termasuk penampilan khas di beberapa pawagam terpilih serta sesi tayangan eksklusif bersama peminat.

Road to Vendetta turut menandakan peranan utama pertama Jeffrey di layar perak, selain memperkukuhkan pencapaiannya apabila filem itu meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards ke-62.

Antara kategori dipertandingkan ialah Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik, sekali gus membuktikan kualiti teknikal serta kekuatan visual karya tersebut.

Jeffrey digandingkan dengan pelakon muda Jepun terkenal, Sara Minami, yang dikenali menerusi drama Nevertheless: The Shape of Love dan From Me to You: Kimi ni Todoke.

Sebelum ini, Jeffrey turut membintangi beberapa filem berskala besar seperti Cesium Fallout bersama Andy Lau dan Little Red Sweet lakonan Simon Yam, menjadikannya antara wajah baharu paling menonjol dalam industri perfileman Asia.

Dalam filem ini, kedua-dua watak bermula sebagai orang asing yang terikat melalui hubungan pembeli dan penjual sebelum terjebak dalam kerjasama yang tidak dijangka.

Walaupun berdepan perbezaan bahasa, keserasian di set penggambaran menghasilkan banyak momen spontan yang mencuit hati serta sarat dengan elemen silang budaya.

Road to Vendetta mengangkat kisah Assassin No. 4, seorang pembunuh upahan profesional yang terperangkap bersama seorang wanita misteri yang didorong oleh dendam.

Selain babak aksi intensif, filem ini turut menyelami konflik dalaman dan persoalan kemanusiaan, sama ada nilai kemanusiaan masih mampu bertahan dalam dunia gelap pembunuh upahan.

Menariknya, produksi ini mengekalkan sentuhan Hong Kong menerusi penggunaan slip pesanan restoran klasik sebagai sistem kod upahan, selain memaparkan babak pertarungan ikonik di atas tram Hong Kong yang sinonim dengan bandar tersebut.

Rekaan aksi pula diterajui pengarah aksi Jepun terkenal, Koichi Sakamoto (Kamen Rider), yang menggabungkan koreografi pantas dan tajam dengan gaya aksi klasik Hong Kong.

Jeffrey turut menjalani latihan intensif bagi memastikan setiap adegan aksi tampil realistik dan bertenaga.

Barisan pelakon filem ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Chu Pak Him (Crisis Negotiators) dan Rosa Maria Velasco (Time Still Turns the Pages, The Last Dance).

Road to Vendetta kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 11 Disember.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN