KUALA LUMPUR: Perkongsian terbaharu penyanyi Elyana di media sosial meruntun perasaan warganet apabila memaparkan dirinya sedang mencukur rambut akibat menjalani rawatan kimoterapi.
Menerusi hantaran di Instagram dan TikTok, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 35, dilihat mencukur rambut dengan dibantu oleh anak-anaknya, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan pengikut.
Dalam video berkenaan, kelihatan gumpalan rambut di lantai tandas selain Elyana memaklumkan bahawa ia merupakan hari ke-29 dia menjalani rawatan kimoterapi.
Meskipun berdepan ujian berat, penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu tetap menzahirkan semangat dan keazaman tinggi untuk pulih demi anak-anaknya.
“Masya-Allah, perjuanganku demi anak-anak.
Saya perlu sembuh kerana saya mempunyai anak-anak yang tidak layak menerima versi diriku yang hancur.
“Insya-Allah, semoga video ini bermanfaat untuk mereka yang perlukan semangat,” tulisnya ringkas.
Menjengah ke ruangan komen, Elyana dihujani dengan kata-kata semangat dan doa daripada rakan-rakan seindustri serta warganet yang mendoakan kesembuhannya.
Untuk rekod, kira-kira dua tahun lalu, Elyana pernah berkongsi berita gembira apabila disahkan bebas daripada penyakit berkenaan.
Sebelum itu, dia mendedahkan menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017.










