Konsert Nidji X Bunkface buat peminat senyum lebar

Konsert Nidji X Bunkface buat peminat senyum lebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan dua kumpulan muzik popular serantau terbukti mencipta magis tersendiri apabila Konsert NIDJI X BUNKFACE berjaya menggegarkan Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu, dengan sorakan dan nyanyian ribuan peminat yang memenuhi ruang konsert hampir tiga jam tanpa henti.

Konsert yang menghimpunkan dua nama besar industri muzik Malaysia dan Indonesia itu menyaksikan para peminat setia menyanyi bersama setiap lirik lagu, sekali gus menjadikan acara berkenaan antara persembahan paling meriah tahun ini.

Tepat pukul 8.36 malam, suasana dewan bertukar gamat apabila lampu dipadamkan sebelum Bunkface muncul di pentas membuka tirai persembahan dengan lagu Malam Ini Kita Punya.

Sorakan bergema, manakala penonton yang kebanyakannya berpakaian denim menggamatkan suasana dengan melompat dan menari mengikut rentak lagu.

Momentum persembahan diteruskan dengan lagu-lagu popular seperti Panik, Prom Queen dan Silly Lily, membuktikan kumpulan yang dianggotai Sam, Paan, Youk dan Biak itu kekal relevan meskipun telah lebih dua dekad mewarnai industri muzik tempatan.

“Kami sudah 20 tahun berkarya dan saya tidak pernah terfikir lagu-lagu kami masih didengar sehingga hari ini,” kata vokalis utama, Sam, yang jelas terharu dengan sambutan luar biasa peminat.

Bunkface mendendangkan sebanyak 13 lagu termasuk Situasi dan Revolusi sebelum menamatkan persembahan mereka sekitar pukul 9.50 malam.

Bagaimanapun, keterujaan penonton masih belum surut apabila mereka menantikan kemunculan kumpulan dari Indonesia, Nidji.

Sorakan semakin memuncak apabila Nidji akhirnya melangkah ke pentas dengan senyuman dan lambaian tangan, disambut ribuan peminat yang sudah bersedia merakam setiap detik persembahan.

Kumpulan yang dianggotai Yusuf Ubay (vokalis), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboard), Ramadhista Akbar dan Andi Ariel Harsya (gitar) serta Adri Prakarsa (dram) itu membuka persembahan dengan lagu ikonik Laskar Pelangi.

Ubay mengakui berasa gementar untuk kembali membuat persembahan, namun tersentuh dengan sambutan hangat peminat di Kuala Lumpur.

“Sejujurnya saya sangat gementar malam ini. Kami jarang membuat persembahan seperti ini, tetapi ia disediakan khas untuk penghujung 2025.

“Ramai sungguh anda semua malam ini, adakah anda gembira?” katanya.

Nidji seterusnya menghiburkan penonton dengan gabungan lagu lama dan baharu antaranya Manusia Sempurna, Kisah Kasihku, Wadoow, Zayang-Zayang, Bolehlah Ku Berharap, Teman Sejati, Bila Aku Jatuh Cinta, Rahasia Hati, Shadows dan Biarlah.

Ketika penonton menyangka persembahan hampir berakhir, Nidji sekali lagi mencuri tumpuan apabila kembali ke pentas untuk mendendangkan lagu malar segar Sumpah dan Cinta Matiku.

Persembahan tersebut mencetuskan sorakan gemuruh serta nyanyian beramai-ramai sebelum konsert ditutup dengan lagu Hapus Aku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN