Ketika bersenam tiba-tiba seperti ada ‘electric shot’ di dada - Remy Ishak - Utusan Malaysia

Ketika bersenam tiba-tiba seperti ada ‘electric shot’ di dada – Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Datuk Remy Ishak terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami ketidakselesaan pada bahagian dada ketika menjalani rutin senaman, hari ini.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata, dia merasakan seolah-olah terkena renjatan elektrik sebanyak tiga kali di bahagian dadanya ketika sedang menyertai sesi latihan ‘Super Saturday’.

“Ketika sedang bersenam, tiba-tiba saya rasa seperti ada ‘electric shot’ di bahagian dada, berlaku sebanyak tiga kali,” katanya.

Menurut pelakon drama Nur itu, walaupun sempat berasa panik, dia berjaya menenangkan diri dengan mengawal pernafasan sebelum meneruskan dan menamatkan sesi senaman tersebut.

Bagaimanapun, demi keselamatan, Remy mengambil keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital bagi memastikan keadaannya tidak mendatangkan risiko yang lebih serius.

“Sempat panik sekejap, tetapi saya cuba kawal pernafasan dan habiskan sesi senaman. Selepas itu saya terus ke hospital untuk buat pemeriksaan,” jelasnya.

Perkembangan mengenai keadaan kesihatannya turut dikongsi menerusi Instastory di akaun Instagram miliknya, selain memaklumkan dia kini berada di bawah pemantauan pihak perubatan.

Dalam nada berseloroh, Remy berkata doktor yang merawatnya sempat bergurau dengan menyatakan dia seolah-olah memperoleh ‘kuasa baharu’.

Namun pada masa sama menasihatkannya supaya mendapatkan rehat yang mencukupi.

“Doktor kata saya dapat kuasa baharu, tenaga itu tengah mengalir dalam badan. Cuma dia pesan supaya banyak berehat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN