Kerugian RM10,000, Ryzal Ibrahim dedah ditipu konsultan tidak bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Kerugian RM10,000, Ryzal Ibrahim dedah ditipu konsultan tidak bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan pempengaruh, Ryzal Ibrahim, mendedahkan pernah mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas ditipu oleh konsultan tidak bertanggungjawab ketika menguruskan permohonan sijil halal bagi restoran miliknya, K-Garden.

Menurut Ryzal, permohonan sijil halal tersebut sebenarnya telah dibuat sejak tahun sebelumnya, namun proses berkenaan tergendala apabila konsultan yang dilantik gagal menjalankan tugas dengan betul serta tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa halal.

Keadaan itu katanya telah menyebabkan keseluruhan permohonan terpaksa dimulakan semula dari awal.

“Kami sudah membayar sekitar RM10,000 kepada konsultan, tetapi rupa-rupanya dia tidak tahu prosedur sebenar dan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

“Akhirnya, kami terpaksa menanggung kerugian dan ulang semula proses permohonan,” katanya.

Ryzal menjelaskan, bagi mendapatkan sijil halal, setiap bahan mentah dan menu yang digunakan di restoran perlu mempunyai pengesahan halal, termasuk bahan asas seperti garam, sayur-sayuran dan makanan kering.

Proses menjadi lebih rumit kerana K-Garden menawarkan pelbagai menu masakan Korea yang memerlukan pengesahan daripada pelbagai pembekal.

Selain itu, Ryzal turut mendedahkan bahawa sebelum memperoleh sijil halal tempatan, restoran itu sebenarnya telah memiliki beberapa sijil halal daripada luar negara seperti Indonesia dan Korea.

Namun, katanya, untuk mendapatkan pengiktirafan tempatan, semua dokumen tersebut perlu disemak semula dan restoran perlu menjalani audit menyeluruh melibatkan dapur, kebersihan, latihan kakitangan serta pematuhan prosedur operasi standard.

Susulan pengalaman tersebut, Ryzal menasihatkan pengusaha restoran agar berhati-hati dalam melantik konsultan dan memastikan mereka berdaftar serta diiktiraf oleh pihak berkuasa.

Katanya, maklumat juga perlu disahkan terus dengan pihak berkuasa, bukan bergantung sepenuhnya kepada konsultan.

Walaupun berdepan kecaman dan tuduhan sepanjang tempoh menunggu sijil halal, Ryzal memilih untuk berdiam diri sehingga proses selesai.

Bagaimanapun, selepas hampir enam bulan bagi permohonan kali kedua, K-Garden akhirnya berjaya memperoleh sijil halal, satu tempoh yang disifatkan pantas berbanding sesetengah restoran lain yang mengambil masa bertahun-tahun.

Menurut Ryzal, kejayaan mendapatkan sijil halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan, malah menjadi aset penting dalam perancangan jangka panjang perniagaannya yang kini merancang pembukaan cawangan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN