PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Khadijah Ibrahim bersama Presidennya, Datuk Freddie Fernandez menekankan realiti hidup anak seni yang masih memerlukan sokongan dan bantuan.
Menurut Khadijah, 65, keadaan industri hiburan hari ini menuntut lebih banyak keprihatinan, terutama bagi para penggiat seni yang berdepan kesukaran untuk terus bertahan.
“Kita lihat apa yang berlaku dalam industri, orang-orang kita (anak seni) perlu bantuan. Jadi kadang-kadang bila kita dengar bantuan dihantar ke sana dan sini, bagaimana pula nasib anak-anak seni?”
“Golongan anak seni perlu diberi perhatian dan menerusi acara konsert amal, kita mencari dana bantuan menerusi penjualan tiket dan meja makan malam,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Konsert Makan Malam Amal ‘Legends’, semalam.
Katanya lagi, menganjurkan konsert amal bukanlah perkara mudah tanpa sokongan dana yang mencukupi.
“Kalau ada dana, memang kita nak bawa konsert ini ke seluruh dunia. Tapi Karyawan tidak menerima sebarang peruntukan, semuanya usaha sendiri. Datuk Freddie sendiri tahu betapa mencabarnya proses mencari dana,” tambahnya.
Sementara itu, Freddie Fernandez menegaskan bahawa konsert amal ini bukan hanya untuk membantu pemuzik dan artis, tetapi seluruh komuniti yang terlibat dalam industri hiburan tanah air.
“Kita bantu wartawan-wartawan juga, bukan hanya pemuzik dan artis sahaja tetapi semua yang terbabit dalam industri dan menyokong industri,” katanya.
Beliau berkata, semua bantuan yang disalurkan adalah hasil kutipan dikumpul sendiri oleh pihak Karyawan kumpulkan sendiri.
Konsert Makan Malam Amal ‘Legends’ bakal berlangsung untuk kali ketiga dan kali ini, akan diadakan pada 27 Disember 2025, bermula pukul 8.00 malam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Konsert itu akan menggabungkan legenda muzik tanah air antaranya Khadijah sendiri, Datuk Ito Blues Gang, Mariam Ahmad, Helen Velu, Kopratasa, Datuk Andre Goh, serta penampilan khas hero gitar legenda, Kid, Man Kidal, Rosli Mohalim, Shahrul Eka, dan Simon Carefree.‘Karyawan sentiasa bantu anak seni yang memerlukan sokongan’ – Khadijah Ibrahim










