PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Shila Amzah mendedahkan pernah melalui detik paling mencabar dalam hidupnya apabila berdepan masalah kewangan.
Keadaan itu, katanya pernah sehingga memaksanya bermula semula dari bawah, meskipun sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata situasi itu berlaku selepas bapanya yang juga penyanyi, Datuk ND Lala, tidak lagi menguruskan kerjaya seninya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar 2019.
“Ketika PKP, saya baru melahirkan anak dan pada masa sama berpisah dengan bapa saya dari segi kerja.
“Kami terpaksa bermula dari kosong. Ini perkara yang ramai tidak tahu walaupun saya sudah dikenali sebagai Shila Amzah di China.
“Saya tanya pengurus, Aini, berapa duit yang ada pada hari itu. Sampai ke tahap itu kami bermula dari kosong, malah daripada negatif,” katanya menerusi audio siar Era.
Dalam audio siar sama, penyampai Era, Raden, mengajukan soalan mengenai bayaran persembahan yang pernah diterimanya, namun pelantun lagu Patah Seribu itu memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Jangan tanya soal bayaran persembahan.
“Ketika itu saya masih menyewa rumah, perlu membayar ansuran kereta dan baru melahirkan anak. Ada hidup, tetapi tak berapa hidup, baik jadi sofa atau perabot,” katanya berseloroh namun sarat makna.
Selain itu, Shila turut mengakui pernah berada pada fasa terendah dalam hidupnya selepas melalui episod putus cinta, sebelum bangkit semula menerusi kerjaya seninya di China.
“Awal usia 20-an, selepas lagu Patah Seribu, saya melalui fasa putus cinta. Bukan soal cinta semata-mata, tetapi kehidupan saya ketika itu seolah-olah tidak boleh bernafas.
“Namun Allah Maha Baik. Apabila keadaan itu berlaku, saya terbang ke China dan fokus sepenuhnya kepada kerja. Dari situ saya dapat peluang untuk bernafas semula,” ujarnya.
Shila memulakan karier seni lebih dua dekad lalu selepas sering mengikut bapanya ke lokasi persembahan. Dia juga pernah menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua dan muncul sebagai naib juara pertandingan berkenaan.










