Jennie Blackpink raih tiga anugerah MMA 2025 - Utusan Malaysia

Jennie Blackpink raih tiga anugerah MMA 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Artis popular Korea Selatan, Jennie, melakar sejarah tersendiri apabila meraih tiga anugerah utama termasuk Anugerah Daesang ‘Rakaman Terbaik Tahun Ini’ pada Anugerah Muzik Melon Ke-17 2025 (MMA2025) yang berlangsung di Gocheok Sky Dome, Seoul, semalam.

Pada acara tersebut, Jennie membawa pulang tiga trofi keseluruhan iaitu Rakaman Terbaik Tahun Ini, Top 10 dan Millions Top 10 menerusi album solo penuh pertamanya, Ruby, sekali gus membuktikan pengaruh dan popularitinya yang sukar ditandingi.

Mengakui terharu dengan penghargaan tersebut, Jennie juga meluahkan rasa syukur.

“Terima kasih kerana memberikan saya anugerah sebesar ini. Tahun ini sangat bermakna buat saya.

“Album solo penuh pertama saya telah dilancarkan dan saya gembira dapat menutup tahun ini dengan penuh kegembiraan. Saya akan terus menjadi Jennie yang menghasilkan muzik yang hebat,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Jennie mencatat kejayaan luar biasa apabila lagu utama dan keseluruhan trek daripada album Ruby mendominasi carta muzik domestik dan antarabangsa.

Malah, dia turut mengukir nama di pentas global menerusi penampilan di Met Gala 2025 dan Coachella Valley Music and Arts Festival, sekali gus mencipta lembaran baharu dalam sejarah K-pop.

Terdahulu, Jennie pada malam anugerah berprestij itu turut menguasai pentas sepenuhnya menerusi persembahan luar biasa, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri muzik global masa kini.

Lebih mengagumkan, Jennie memenuhi pentas secara solo dengan persembahan berskala artistik tinggi yang menggabungkan elemen budaya Korea secara halus dan moden.

Persembahan yang disusun semula menerusi lagu Seoul City, ZEN dan like JENNIE itu menggambarkan perjalanan dirinya daripada perspektif dunia luar, menyelami dunia dalaman, sebelum akhirnya menemukan identiti sebenar.

Dalam segmen Seoul City, Jennie juga tampil memukau dengan pemakaian kain layang gergasi yang berjaya mencuri perhatian penonton.

Persembahan itu menzahirkan rasa keakraban dan ketenangan di tengah hiruk-pikuk cahaya kota, berteraskan warna biru bendera Korea.

Sementara itu, menerusi ZEN, Jennie menampilkan keseimbangan dan fokus dalaman selepas melalui kekalutan kota.

Kemuncak persembahan diteruskan dengan like JENNIE, di mana dia memperlihatkan jati diri sebenar secara jelas.

Diiringi lebih 50 penari latar, Jennie menguasai pentas dengan kawalan persembahan yang sempurna, menjadikan suasana dewan mencapai tahap kemuncak dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Turut mencuri tumpuan ialah rekaan busana yang mengolah semula elemen tradisional Korea secara moden.

Pada segmen Seoul City, kain layang gergasi yang dihiasi kandungan buku lirik pertama Korea menambah nilai simbolik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN