Los Angeles: Bintang realiti terkenal, Kim Kardashian, mengakui berasa amat sedih dan terluka apabila bekas suaminya, penyanyi rap terkenal, Kanye West, menuduhnya berbohong mengenai insiden rompakan bersenjata yang dialaminya di Paris pada 2016.
Menurut Kim, Kanye pernah mendakwa bahawa kejadian rompakan yang menggemparkan dunia itu tidak pernah berlaku dan hanya direka bagi tujuan publisiti rancangan televisyen.
Perkara itu didedahkan menerusi episod terbaharu rancangan realiti The Kardashians yang disiarkan pada Khamis (4 Disember 2025).
Kim berkata, kejadian tersebut meninggalkan trauma mendalam dalam kehidupannya.
“Bekas suami saya pernah berkata saya memalsukan rompakan itu untuk rancangan televisyen dan mengatakannya secara terbuka di hadapan semua orang.
“Kata-kata itu terasa seperti pisau yang menikam hati saya,” katanya.
Mengulas lanjut, kakak tiri kepada supermodel Kendall Jenner itu berkata, amat sukar baginya untuk menerima hakikat apabila individu terdekat yang sepatutnya mengenalinya dengan baik, bertindak tidak mempercayai kisah sebenar yang dilaluinya.
“Sangat menyakitkan apabila seseorang yang begitu rapat dengan kita, yang sepatutnya tahu betapa besar kesan peristiwa itu terhadap hidup saya, tidak mempercayai saya.
“Apabila memikirkannya, ia benar-benar mengganggu perasaan,” katanya.
Sebelum ini, pihak berkuasa Perancis mengesahkan bahawa lapan daripada 10 tertuduh telah didapati bersalah berkaitan kes rompakan yang menimpa Kim Kardashian pada 2016.
Sehingga berita ini ditulis, wakil Kanye West masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan media berhubung kenyataan terbaru Kim itu.










