KUALA LUMPUR: Pelakon, Eyra Hazali mendedahkan pengalaman peribadi berdepan detik cemas apabila anak keduanya, Muhammad Endra Haqimie, disahkan mengalami pembengkakan tonsil tahap empat sehingga hampir menutup laluan pernafasan.
Menerusi perkongsian di Threads, Eyra mengakui pada awalnya menganggap dengkuran yang dialami anaknya ketika tidur adalah perkara biasa.
Bagaimanapun, Eyra berkata dia mula sedar Endra sering berhenti bernafas seketika serta mengalami masalah kerap kencing pada waktu malam.
“Anak tidur berdengkur tak normal ya ibu bapa sekalian. Anak saya Endra tidur berdengkur dan saya fikir ianya normal sampailah saya sedar dia berhenti bernafas sekejap serta kerap kencing setiap malam,” katanya.
Bimbang dengan keadaan itu, Eyra mengambil langkah membawa Endra berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tonsil anaknya membengkak pada tahap kritikal.
“Bawa ke ENT dan dapat tahu yang tonsil Endra dah bengkak tahap empat dan hampir tutup laluan pernafasan dia.
“Apa kena mengena dengan kencing? Bila oksigen tak sampai otak, otak akan bagi signal pada badan untuk kencing supaya badan alert dan bangun dari tidur,” jelasnya.
Eyra turut memaklumkan Endra telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tonsil tersebut dan berkongsi foto keadaan tonsil anaknya selepas prosedur berkenaan.
Perkongsian itu sekali gus menjadi peringatan kepada ibu bapa agar tidak memandang ringan masalah dengkuran dalam kalangan kanak-kanak kerana ia berpotensi menjejaskan kesihatan serta keselamatan mereka.










