Backstreet Boys lancar semula video muzik I Want It That Way - Utusan Malaysia

Backstreet Boys lancar semula video muzik I Want It That Way

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Kumpulan pop sensasi era 1990-an, Backstreet Boys, mengubat rindu peminat apabila melancarkan versi video muzik 2025 bagi lagu hit ikonik mereka, I Want It That Way.

Video eksklusif yang dirakam dalam format menegak itu menampilkan kelima-lima ahli kumpulan berkenaan iaitu Nick Carter, Howie Dorough, AJ McLean, Brian Littrell dan Kevin Richardson, mengenakan persalinan serba putih di dalam sebuah hangar pesawat.

Suasana itu yang hampir menyerupai lokasi penggambaran video muzik asal lagu tersebut pada tahun 1999.

Menurut Backstreet Boys, idea menghasilkan video berkenaan tercetus ketika mereka berada di set penggambaran promosi jelajah konsert.

“Kami berada di set penggambaran promosi jelajah dan mula benar-benar merasai nostalgia tahun 1999 apabila berdiri di hadapan pesawat dalam hangar dengan pakaian serba putih.

“ Kami kemudian membuat keputusan untuk merakam persembahan ini dalam satu penggambaran sahaja pada penghujung dua hari penggambaran yang panjang,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu turut menyifatkan hasil rakaman tersebut sebagai sesuatu yang cukup magis, selain mengumumkan penjualan tiket bagi residensi konsert mereka, Into The Millennium HOMECOMING: Live in Germany.

Untuk rekod, Backstreet Boys pernah merakam semula lagu I Want It That Way pada tahun 2019 sempena ulang tahun ke-20 lagu berkenaan.

Sehingga kini, video muzik asal I Want It That Way telah mencatatkan lebih 1.6 bilion tontonan di YouTube, sekali gus meletakkannya dalam senarai lebih 500 video muzik yang mencapai angka tontonan melebihi satu bilion.

Selain lagu tersebut, Backstreet Boys juga dikenali menerusi deretan lagu popular lain seperti Everybody, As Long As You Love Me, Quit Playing Games (With My Heart), Shape of My Heart, Drowning, Show Me the Meaning of Being Lonely, Larger Than Life dan Get Down.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN