KUALA LUMPUR: Komposer ternama tanah air, Datuk M. Nasir, sekali lagi mengukuhkan reputasinya apabila dinobatkan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025 yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.
Tokoh muzik legenda itu mengetepikan saingan rapatnya, Saari Amir dan Ezra Kong, sekali gus mempertahankan gelaran yang turut diraihnya pada edisi lalu.
Menurut M. Nasir, pengiktirafan tersebut adalah hasil sokongan semua pihak yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada keluarga, isteri serta anak-anak,” katanya sejurus menerima anugerah berkenaan.
Komposer tersohor itu turut merangkul kemenangan bagi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu ikonik Tiara, mengatasi saingan karya Gatal (Aepul Roza) serta Qing Fei De Yi (Tang Xiao Kang/Zhang Guo Xiang).
Bagaimanapun, syarikat rakaman milik beliau, Luncai Emas Sdn. Bhd., terpaksa melepaskan gelaran Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi kepada Taja Archive Sdn. Bhd.
Dalam kategori lain, Lagu Melayu Persembahan Tertinggi menjadi milik Sayunk I Love You ciptaan Hari dengan lirik oleh Ajim Maze.
Bagi Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi, kemenangan berpihak kepada Old Love hasil nukilan Yuji.
Sementara itu, komposer muda Firdhaus terus menyerlah apabila sekali lagi memenangi kategori Lagu Cina Persembahan Tertinggi melalui karya Zai Jia Na Gong He Guo Li Hun.
Bintang berusia 25 tahun itu turut diiktiraf sebagai Komposer Muda Berpotensi.
Kategori Lagu Tamil Persembahan Tertinggi pula menyaksikan kejayaan Yennode Macha, ciptaan Zubir Khan & Music Kitchen, dengan lirik turut ditulis Zubir Khan.
Di peringkat penerbitan, Warner Chapel Music muncul Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi, mengetepikan Sony Music Publishing serta mengambil alih kedudukan Universal Music Publishing yang menang tahun lalu.
Bagi kategori Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi, kemenangan diraih karya Dawai ciptaan komposer Indonesia, Hendro Djasmoro.
Satu lagi penghargaan istimewa, Anugerah Nadi Cipta, diberikan kepada komposer berpengalaman Eddie Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Adenan, 63, atas sumbangan besarnya dalam dunia muzik.
Majlis anugerah MACP 2025 yang memasuki edisi ke-36 itu dikendalikan oleh pengacara Hunny Madu, dan diserikan dengan persembahan artis termasuk Ella, Ezad Lazim, Iman Troye, Firdhaus serta Sophia Liana.










