KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Namie mendedahkan dirinya pernah mengalami detik mencemaskan apabila tiba-tiba muntah darah, yang dipercayai berpunca daripada perbuatan sihir ketika mengharungi minggu-minggu awal sebuah pertandingan komedi popular.
Menurut Namie, perubahan mendadak pada dirinya mula dirasai sejak minggu pertama lagi sehingga membuatkan personalitinya sebagai pelawak sukar dibawa ke pentas.
“Dari awal saya rasa lain sangat. Seakan saya bukan Namie yang orang kenal dulu. Karakter selamba pun saya tak boleh bawa,” katanya dalam siaran Ashrapp Channel.
Menyifatkan perubahan itu sebagai sesuatu yang di luar kebiasaan, Namie turut menjelaskan keadaan tubuhnya ketika itu sering lemah seperti demam dan sakit urat.
Katanya, bagaimanapun pemeriksaan kesihatan tidak menunjukkan sebarang jangkitan.
“Waktu mula-mula kena, saya ingat demam biasa. Tak cukup rehat. Ingat influenza atau Covid, tapi bila periksa, tak ada apa.
“Malam itu balik rumah, saya muntah dan saya dapati saya muntah darah,” dedahnya.
Lebih mengejutkan, Namie mengakui dia mula memikirkan kemungkinan wujudnya unsur hasad dan gangguan yang menjejaskan fokus serta prestasinya di pentas.
“Saya terfikir juga, adakah saya ‘ditutupi’ sejak minggu pertama? Bila Allah bagi rasa macam itu, mungkin Dia nak kita belajar dan refleksi diri,” katanya.
Menurutnya lagi, rakan sepasukan turut menyedari perubahan sikap dan kesukarannya memberikan persembahan, terutama ketika memasuki pusingan suku akhir.
Bagaimanapun, Namie menegaskan pendedahan itu bukan bertujuan menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya sebagai pengalaman yang ingin dikongsi untuk manfaat bersama.
“Saya tak berniat nak mencari siapa atau menuduh sesiapa. Saya anggap ini ujian,” tambahnya.










