Alami penyakit hipertirodisme, badan menggigil, tidak mampu telan air liur - Andi Bernadee - Utusan Malaysia

Alami penyakit hipertirodisme, badan menggigil, tidak mampu telan air liur – Andi Bernadee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee, mengakui keadaan kesihatannya semakin pulih selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak tiga hari lalu akibat penyakit hipertirodisme.

Pada masa yang sama, Andi berkata,
pihak hospital turut mengesahkan dia mengalami simptom penyakit Graves, iaitu sejenis penyakit autoimun yang menyerang kelenjar tiroid.

Menurut Andi, keadaan kesihatannya sebelum mendapatkan rawatan berada pada tahap membimbangkan apabila dia mengalami degupan jantung yang terlalu laju secara tiba-tiba, sehingga mengganggu waktu tidurnya.

“Kadang-kadang ketika tidur, saya terjaga kerana jantung berdegup terlalu laju. Saya juga mengalami sesak nafas, penurunan berat badan, menggigil dan tremor.

“Jika diperhatikan, kaki saya sentiasa bergerak seperti orang yang mengalami keresahan (anxiety), serta beberapa simptom lain lagi.

“Sejak dahulu lagi saya memang tidak boleh berada di tempat panas. Sesiapa yang mengenali saya pasti tahu saya memang tidak suka berada di kawasan yang panas,”katanya dalam hantaran di Instagram Story (IGs) hari ini.

Selain itu, kongsi Andi, keadaannya semakin serius apabila hormon yang tidak terkawal menyerang kelenjar tiroid sehingga menyebabkan ulser dan pembengkakan pada bahagian leher.

Situasi itu katanya, telah menyebabkan dia tidak mampu menelan air liur, sukar minum dan makan, malah setiap suapan terpaksa dilakukan dalam beberapa langkah.

“Saya perlu mengunyah sambil menundukkan kepala, kemudian mendongakkan kepala dan minum air. Selepas itu saya mengalami demam menggigil dan meracau,” jelasnya.

Bagaimanapun, Andi memaklumkan bahawa hari ketiga menerima rawatan, dia telah menunjukkan perkembangan yang semakin baik dan kini berada dalam pemantauan rapi pihak perubatan.

Tambahnya, dia juga terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat termasuk steroid, antibiotik, ubat tahan sakit, ubat kebas serta ubat hormon bagi menstabilkan keadaan kesihatannya itu.

“Saya perlu mengambil ubat sama ada selama enam bulan atau setahun, saya masih belum pasti. Saya berharap semuanya akan kembali normal.

“Saya perlu mengambil banyak jenis ubat. Pendek kata, buat masa ini saya sangat bergantung kepada ubat. Saya berharap keadaan saya akan terus bertambah baik,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN