Tidak berborak ‘kacip’, kita perlukan anak muda yang matang - Farah Lee - Utusan Malaysia

Tidak berborak ‘kacip’, kita perlukan anak muda yang matang – Farah Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF), Farah Lee, tampil menjelaskan sebab dia dilihat kurang aktif serta tidak terlalu mesra di platform media sosial seperti Threads, walaupun dikenali sebagai seorang yang periang dan mudah didekati dalam kehidupan sebenar.

Menurut Farah, atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, kekangan masa dan pelbagai komitmen menyebabkan dia tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk berinteraksi secara santai di media sosial.

“Maaf kepada yang kecewa kerana mengharap saya berborak ‘kacip’ di Threads. Dalam interaksi sebenar, saya memang jenis yang mesra, terutama dengan rakan-rakan.

“Karakter saya memang santai dan ceria, tetapi saya mempunyai banyak komitmen dan memegang pelbagai tanggungjawab.

“Jadi, untuk aktif di media sosial semata-mata memang saya tidak mempunyai masa,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Selain itu, Farah turut menjelaskan, dia kurang gemar melihat perkongsian yang tidak bermanfaat di media sosial, dan lebih menghargai kandungan yang mampu memberi nilai ilmu serta faedah kepada masyarakat, khususnya kepada generasi muda.

“Saya tidak begitu suka melihat perkongsian yang tidak perlu di media sosial. Tidak mengapa sedikit-sedikit, tetapi sebagai seseorang dalam bidang sains sosial, saya berharap anak muda membesar dengan melihat perkara yang mempunyai isi.

“Tidak perlu formal atau membosankan, cukup disampaikan secara santai tetapi jangan sampai tidak berfaedah,” katanya lagi.

Farah juga menambah bahawa generasi muda perlu mencontohi tokoh-tokoh Islam yang matang dan berwawasan sejak usia muda.

“Kita memerlukan anak muda yang matang seperti Ibnu Abbas, Anas ibn Malik, dan Sultan Muhammad al-Fateh, tokoh-tokoh yang mampu menjadi pemimpin pada usia belasan tahun,” jelasnya.

Sementara itu, kenyataan Farah itu menerima pelbagai reaksi daripada pengikutnya di media sosial yang rata-ratanya menyokong pandangannya.

“Tidak mengapa, kak Farah, kami faham. Saya suka membaca pengalaman yang kakak kongsi. Banyak ilmu yang bermanfaat untuk diambil.

“Bukan semua orang mampu melakukan dan menyumbang seperti kakak. Semoga urusan dan rezeki kakak dipermudahkan. Amin,”kata seorang pengikut.

“Tidak mengapa. Saya sangat suka membaca kisah yang kakak kongsi, terutamanya mengenai hubungan kakak dengan anak dan kehidupan sebagai ibu.

“Ia sangat menyentuh hati dan memberi ketenangan kepada saya yang datang daripada keluarga yang bercerai-berai,”kata seorang lagi pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN