SHAH ALAM: Pengosongan penuh ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat secara berperingkat dijangka selesai pada September tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim berkata, proses pengosongan itu kini sedang berjalan dengan tiada permit baharu dikeluarkan sejak tahun lepas.
“Pengosongan sepenuhnya berjalan berperingkat hingga suku ketiga tahun ini habis, kita beri masa sehingga enam bulan dan kita akan pantau. Memang tidak keluarkan lesen baharu, kita akur titah Sultan Selangor.
“Sebenarnya kita bukan hendak ternak di situ, kita minta masa sedikit untuk proses pemindahan. Negeri tidak memperbaharui permit. Sekarang ini hanya proses pengosongan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi kontrak Jangka Panjang (KJP) penyelenggaraan jalan negeri 2026-2030 dan penyerahan jentera kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, hari ini.
Katanya, babi yang positif jangkitan wabak Demam Babi Afrika (ASF) akan terus dilupuskan tanpa perlu menunggu tempoh matangnya.
ASF sebelum ini menular di Tanjung Sepat, telah menyebabkan lebih 80 daripada 115 ladang babi ditutup dan dalam proses pengosongan.
Sementara itu, Izham memberitahu, kerajaan negeri juga masih menjalankan kajian terperinci dan belum menetapkan lokasi pembinaan ladang penternakan babi yang baharu.
“Kita belum tetapkan lagi di mana tempat hendak buat. Kerajaan negeri bertanggungjawab, kita akan teliti betul-betul tempat mana sebelum buat. Penggunaan teknologi moden juga akan membantu.
“Teknologi moden, tertutup, sifar sisa buangan dan jauh daripada penduduk. Jadi tidak timbul isu hendak buat. Kita belum tetapkan lokasi,” jelasnya. – UTUSAN










