Teater Uda dan Dara, Johan As’ari akui rasa gemuruh - Utusan Malaysia

Teater Uda dan Dara, Johan As’ari akui rasa gemuruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Pelakon, Johan As’ari, 39, mengakui berdepan perasaan gemuruh apabila diberi tanggungjawab membawakan watak Uda dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara.

Berlangsung di Playhouse Theater, The Campus Ampang sejak 20 hingga 23 November ini, Johan bagaimanapun menganggap peluang tersebut sebagai satu cabaran besar dalam kerjaya seninya.

Menurut Johan, walaupun bukan pertama kali terlibat dalam dunia pementasan, dia mengakui sudah lama tidak beraksi di pentas teater sekali gus membuatkan dia sedikit gementar pada peringkat awal.

“Sebenarnya tak pernah betul-betul buat pementasan macam ini, tapi sebelum ini lama juga terlibat dengan teater. Jadi bila kembali ke pentas, ada rasa gemuruh sikit.

“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam pementasan teater Bahayanya Wanita pada 2013, hero masa itu Zizan.

“Lepas itu, bertahun-tahun saya tak dapat peluang, sehinggalah kali ini diberi peluang pertama menjayakan teater muzikal,” katanya kepada Utusan Malaysi ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Johan yang turut menyahut cabaran menyanyi secara langsung mengakui telah mengikuti latihan vokal secara intensif.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Istana Budaya dan cikgu-cikgu yang mengajar saya. Saya tak ambil tawaran lain sebab nak fokus sepenuhnya kepada pementasan ini.

“Saya tak pernah menyanyi dalam pementasan, jadi saya anggap ini satu cabaran besar,” jelasnya.

Mengulas persembahan nyanyiannya, Johan mengakui masih dalam proses menenangkan diri dan mengawal teknik vokal.

“Orang mungkin nampak saya nyanyi macam tak ‘buka’ sangat. Ini sebab persembahan pertama.

“Nyanyian perlukan ketenangan dan kawalan nafas. Saya minum banyak air sebab lama tak buat pementasan. Insya-Allah dari hari ini saya akan perbaiki diri,” katanya lagi.

Johan turut menjelaskan penerimaannya terhadap projek Uda dan Dara berpunca daripada rasa rindu untuk kembali ke pentas teater.

“Saya ambil projek ini sebab saya rindu nak berteater. Bila dah beri komitmen, kita kena disiplin. Komitmen sangat tinggi, sebulan sebelum pementasan saya tak ambil apa-apa tawaran lain.

“Setiap hari saya hadir kelas, pagi, petang, malam, tanpa ponteng walau satu sesi,” katanya.

Dia juga mengakui keberanian untuk menyertai produksi itu hadir walaupun menyedari bukan semua orang berani menyanyi di hadapan khalayak.

“Bukan semua orang berani menyanyi sebab takut orang kecam. Tapi saya beranikan diri sebab rindu pentas. Tambahan pula ini karya agung Allahyarham Dr. Usman Awang. Saya tak fikir panjang, saya terus setuju dan berjanji buat yang terbaik,” ujarnya.

Dalam membawakan watak Uda, Johan menegaskan dia amat menitikberatkan keaslian dialog seperti yang ditulis pengarang.

“Watak Uda ini menuntut saya menjaga setiap patah perkataan dialog yang dinukil oleh Allahyarham tanpa mengubah walau satu pun.

“Itulah cara saya untuk menjaga watak ini supaya ia menjadi sejarah yang baik bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN