KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufi Rashid menegaskan, kemunculannya berduet bersama rakan seperjuangannya, Hafiz Suip dalam konsert Di Sebalik Aku yang berlangsung pada 1 November lalu bukanlah bertujuan untuk mencuri perhatian penonton.
Menurut Sufi atau nama sebenarnya Muhammad Sufi Ahmad Rashid, 34, penampilannya itu hanyalah atas dasar memenuhi undangan Hafiz sendiri.
“Saya pun terfikir juga mungkin orang akan cakap saya nak tumpang ‘limelight’, tapi sebenarnya Hafiz yang ajak saya menyanyi.
“Tak akanlah saya nak tolak ajakan dia. Sekurang-kurangnya, bila saya naik pentas, Hafiz dapat rehat sekejap empat atau lima minit sebelum sambung lagu seterusnya,” katanya.
Sufi bagaimanapun memahami sekiranya ada penonton yang berasa janggal dengan kehadirannya secara tiba-tiba di pentas konsert tersebut.
“Saya faham, mungkin ada penonton rasa ‘kurang kena’ bila saya tiba-tiba muncul.
“Terapi saya tidak salahkan mereka sebab mereka datang untuk menonton Hafiz. Saya cuma ingin bantu dan memeriahkan persembahan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sufi berkata, dia turut memastikan nyanyiannya tidak keterlaluan dan fokus kepada menyampaikan lagu duet Ku Akui dengan sebaik mungkin.
“Saya pastikan persembahan itu berjalan lancar dan tidak ada nyanyian sumbang. Alhamdulillah, semuanya baik.
“Kalau perasan, sepanjang lagu Ku Akui, saya tidak terlalu menonjol dan beri ruang kepada Hafiz. Bahagian harmoni pun saya serahkan kepadanya supaya kekuatan vokalnya lebih menyerlah,” jelasnya.
Tambah Sufi, dia hanya mahu bertindak profesional dan memastikan persembahan berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang salah faham.
“Saya tidak mahu mencuri perhatian atau tunjuk kehebatan vokal. Kami saling melengkapi di atas pentas,” katanya.










