Shah Alam: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027.
Pelantikan tersebut disempurnakan menerusi Majlis Penyerahan Surat Pelantikan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM, di sini.
Siti ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan serta peluang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi itu.
“Saya berharap pelantikan ini dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara industri dan akademia agar pelajar dapat mendekati dunia keusahawanan sebenar secara lebih realistik.
“Apa yang dipelajari di dalam kelas, akhirnya akan diaplikasikan apabila mereka menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan,” katanya.
Menurut penyanyi popular itu lagi, perubahan landskap semasa menuntut generasi muda supaya lebih fleksibel dalam pemikiran dan tidak gentar mencuba.
“Cabaran hari ini tidak lagi sama. Mahasiswa perlu berfikiran realistik dan menyesuaikan diri dengan perkembangan luar biasa semasa.
“Jangan takut bermula kecil atau menghadapi kegagalan. Saya berterima kasih kepada UiTM dan akan melaksanakan amanah ini sebaik mungkin,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, UiTM amat berbangga menerima pelantikan tokoh seni berkenaan.
“Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan beliau dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi turut membuka lembaran baharu kolaborasi strategik antara akademik dan industri,” ujarnya.
Siti turut memulakan peranan baharunya hari ini sebagai panel bagi Program Syarahan Perdana anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.










