Serba boleh, Shiha Zikir ligat nyanyi lagu pelbagai bahasa - Utusan Malaysia

Serba boleh, Shiha Zikir ligat nyanyi lagu pelbagai bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Shiha Zikir menegaskan dirinya bukan jenis artis yang melepaskan batuk di tangga ketika membuat persembahan sama ada di kaca televisyen mahupun di acara korporat eksklusif.

Menurut Shiha, setiap undangan persembahan yang diterimanya adalah satu amanah besar, khususnya bagi memastikan pihak klien serta para tetamu pulang dengan hati yang puas.

“Sejak dulu lagi saya banyak menerima undangan persembahan korporat. Alhamdulillah, ia juga menjadi sumber pendapatan penting bagi seorang penyanyi.

“Bila saya terima tawaran, saya akan pastikan pihak klien benar-benar terhibur.

“Menghiburkan itu bukan sekadar menyanyi—saya akan berinteraksi dengan tetamu, bermain permainan, berbual, bukanlah sekadar menyanyi dan terus ucap selamat tinggal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shiha turut mendedahkan bahawa selain genre tradisional dan balada, keupayaannya menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa menjadi salah satu kelebihan yang sering mendapat pujian.

“Ramai yang suka bila saya boleh nyanyi dalam bahasa berbeza. Dalam syarikat korporat pun ramai bos bukan Melayu—ada dari Jepun, Thailand, Filipina dan sebagainya.

“Kalau mereka minta lagu bahasa asing, saya akan terus kata boleh. Dari dulu saya belajar pelbagai lagu, jadi bila klien minta, saya terus on.

“Kalau belum pernah nyanyi pun, saya akan belajar sampai sebutan dan penyampaian tepat,” jelasnya.

Antara bahasa yang pernah dibawakan Shiha termasuk Mandarin, Kantonis, Tamil, lagu Bollywood, Thailand, Filipina, Jepun, Korea, Sepanyol, Arab dan banyak lagi.

Tidak pernah jemu belajar perkara baharu, Shiha juga mengakui dirinya terinspirasi daripada dua figura seni tanah air, Allahyarham Sharifah Aini dan Anita Sarawak.

“Saya kagum dengan versatiliti mereka. Sebab itu saya tidak pernah ambil mudah soal nyanyian atau persembahan.

“Baru-baru ini pun saya persembahkan lagu dalam Bahasa Filipina dan Thailand di empat acara sempena persidangan ASEAN,” katanya.

Selain aktif sebagai penyanyi, Shiha kini turut sibuk menguruskan perniagaannya di bawah Shiha Zikir Empire (SZE) dan Shiha Zikir Nasi Ayam, termasuk menjalankan kerja-kerja sebagai penganjur acara.

“Ramai mungkin belum tahu, saya juga buat kerja-kerja mengendalikan acara. Dari A sampai Z—muzik, opening gambit, dekorasi dewan, kerja kreatif—semua boleh disediakan oleh SZE,” ujarnya.

Sementara itu, Shiha memaklumkan bahawa dia kini dalam proses menyiapkan single terbaharu berkonsepkan tradisional dengan elemen silat, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN