KUALA LUMPUR : Pereka fesyen tersohor tanah air, Hatta Dolmat, meluahkan rasa sedih dan simpati atas pemergian ibu kepada penyanyi terkenal Hafiz Suip, Allahyarhamah Halizawati Haji Salleh, yang dilaporkan telah kembali ke rahmatullah, semalam.
Menerusi hantaran di laman media sosialnya, Hatta menzahirkan rasa kasih dan hormat yang mendalam terhadap keluarga Hafiz, selain mengenang kenangan indah ketika mereka bertemu di belakang pentas sewaktu konsert besar penyanyi berkenaan 1 November lalu.
“Buat Hafiz Suip yang disayangi, abang antara insan yang sangat bersyukur dan gembira dengan kejayaan hebat Hafiz pada malam konsert itu.
“Dari dulu abang siapkan Hafiz sebab abang sangat kagum dengan bakat dan anugerah yang Allah beri pada Hafiz.
“Malam konsert itu seronok sangat, the vibe di belakang tabir pun luar biasa. Sempat borak dengan mak dan ayah Hafiz, dengar cerita ayah Hafiz dan sempat beri kata semangat pada mak Hafiz masa itu,” katanya.
Selain itu, Hatta turut berkongsi detik sayu apabila dirinya dan beberapa rakan terdekat tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan kerinduan terhadap arwah.
“Moment petang ini abang, Jue, Lily, kita semua berpelukan, menangis sebab Lily rindu arwah ibu dia. Tapi hari ini, moment ini terasa jauh lebih dalam dengan perkhabaran yang diterima,” ujarnya.
Dalam pada itu, pereka fesyen berpengaruh itu turut mendoakan agar Hafiz terus diberikan kekuatan dalam menempuh ujian besar ini serta berharap semangat penyanyi itu terus pulih dan bersinar dalam kerjaya seni.
“Abang doakan dan abang mohon semua yang menyayangi bakat Hafiz mendoakan kekuatan dan ketenangan buat Hafiz, serta semoga ibunda syurga Hafiz, Allahyarhamah Halizawati Haji Salleh, ditempatkan dalam kalangan yang dikasihi Allah,” katanya.
Terdahulu, Hafiz berkongsi hantaran di media sosial mengenai pemergian ibunya semalam.
Untuk rekod, Allahyarham Halizawati sebelum ini menghidap penyakit diabetes kronik hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong ke paras lutut.
Hafiz sebelum ini memaklumkan sudah berpindah ke Kuching, Sarawak bagi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.










