PUTRAJAYA: Bekas isteri penyanyi, Nubhan Ahmad, iaitu Dr. Afifah Hidayah Tawfek,35, menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat menjauhkan anak-anak daripada bapa mereka mahupun keluarga bekas suami setelah perceraian berlaku.
Menurut Dr. Afifah, meskipun proses tuntutan hadanah sedang berlaku di Mahkamah pada waktu ini, anak-anak bagaimanapun masih menetap bersamanya.
“Berhubung urusan anak-anak, buat masa sekarang mereka banyak bersama saya. Walaupun hak hadanah sedang melalui proses mahkamah dan Nubhan telah memfailkan permohonan untuk hadanah penuh, perintah interim menetapkan bahawa anak-anak berada bersama saya.
“Anak-anak masih bersekolah seperti biasa.
Saya juga berusaha menjelaskan keadaan kepada anak-anak dengan cara yang lembut supaya mereka tidak berasa keliru.
“Nubhan juga kekal mempunyai akses untuk berjumpa anak-anak apabila dia mempunyai masa, dan saya tidak pernah menghalang hubungan mereka.
“Bagi saya, anak-anak berhak untuk mendapat kasih sayang semua pihak. Baik daripada ayah mereka, keluarga sebelah ayah, datuk nenek, dan sesiapa sahaja yang menyayangi mereka,”katanya.
Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Fie berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran butik JeMels Atellier di Pusat Membeli Belah ioi di sini, hari ini.
Selain itu, Dr Fie, memaklumkan sebarang penjelasan penuh kepada anak-anak tentang situasi perceraian akan dibuat selepas keputusan mahkamah pada 2 Disember.
“Buat masa ini, anak-anak belum diberi penerangan penuh tentang situasi sebenar.
“Saya telah mencadangkan supaya saya dan Nubhan memberikan penjelasan bersama, namun kami akan menunggu keputusan mahkamah pada 2 Disember nanti sebelum sebarang langkah selanjutnya diambil,”katanya.
Dalam pada itu, Dr Fie juga memberitahu dia bersyukur kerana diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan yang tenang kini selain dikelilingi insan-insan baik hati.
“Saya bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan ramai individu serta kumpulan usrah yang baik, yang banyak membantu saya untuk terus maju dan memperbaiki diri.
“Selepas beberapa insiden yang berlaku, Allah hadirkan juga rezeki yang tidak disangka dalam bentuk peluang-peluang kerja dan kempen.
“Saya melihat semua ini sebagai ujian dan tanda kasih sayang Allah untuk menjadikan saya lebih matang dan lebih baik pada masa hadapan,”katanya.
Kes pengesahan perceraian Nubhan terhadap isterinya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu.
Pasangan itu pernah bercerai pada tahun 2017 ketika Dr. Fie hamil anak pertama, namun kembali rujuk dalam tempoh idah.
Difahamkan, isu perceraian kali ini berpunca daripada ketidaksefahaman antara pasangan berkenaan, sekali gus menolak spekulasi wujudnya orang ketiga seperti yang tular di media sosial.










