KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Edika Yusof kembali mencuri perhatian warganet apabila berkongsi momen penuh kasih menyambut ulang tahun kelahiran isterinya, Nor Hidayah Yusri di sebuah restoran bersama keluarga tercinta baru-baru ini.
Edika atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abd Majid, 58, menitipkan ucapan menyentuh hati buat suri hatinya itu menerusi hantaran di TikTok, sekali gus mencerminkan kasih sayang yang tidak pernah pudar biarpun lebih dua dekad mendirikan rumah tangga.
“Selamat hari lahir, sayangku. Dua puluh dua tahun bersama, saya masih sayang dan cintakan awak setiap hari.
“Awak adalah jiwa dan raga saya, pendorong untuk saya terus ke hadapan.
“Semoga Allah kurniakan awak ketenangan, kekuatan dan rahmat yang berpanjangan. Selamanya untuk awak, Nor Hidayah Yusri,” tulisnya.
Ungkapan penuh romantis bintang filem Maria Mariana itu pantas mencuri perhatian ramai, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa tersentuh dan mengagumi ketulusan cinta pasangan berkenaan.
Terdahulu, hubungan Edika dan Hidayah pernah menjadi perhatian umum apabila isterinya memfailkan permohonan perceraian pada pertengahan Februari lalu.










