Saya gugup buka tirai persembahan konsert - Hafiz Suip - Utusan Malaysia

Saya gugup buka tirai persembahan konsert – Hafiz Suip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Suip meluahkan rasa syukur apabila konsert sulungnya, Di Sebalik Aku: Hafiz Suip berjalan dengan lancar walaupun pada awalnya berdepan rasa gugup ketika memulakan persembahan di pentas semalam.

Berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert yang dihadiri seramai 3,500 penonton itu menyaksikan satu sejarah buat Hafiz yang telah lama menunggu waktu untuk menghadiahkan peminatnya dengan sebuah konsert besar.

Mengakui bukan mudah mengawal debaran saat berhadapan ribuan penonton, Hafiz berkata, tindakan spontan turun dari pentas selepas beberapa minit menyanyi sebenarnya menjadi detik penting yang membantunya kembali mendapat semangat.

“Saya memang gugup pada mulanya. Tapi bila saya turun sekejap dari pentas, saya dapat aura semangat daripada penonton dan peminat. Mereka yang membuat saya kembali yakin,” katanya.

Menurut Hafiz, sokongan luar biasa penonton yang hadir memberikan kekuatan untuknya menghabiskan persembahan dengan penuh emosi dan rasa terharu.

Ia terutama apabila melihat usaha peminat memenuhi tempat duduk hingga saat akhir.

Selain itu, Hafiz turut tidak menyangka kejutan yang dirancang pihak pengurusan melibatkan kehadiran ibunya dari Kuching, Sarawak, yang menyaksikan sendiri persembahan tersebut.

“Kehadiran mak saya di pentas bersama ayah adalah kejutan yang paling besar. Saya memang sebak sebab insan paling berharga dalam hidup saya ada bersama saya pada hari penting ini.

“Saya juga berterima kasih kepada seluruh peminat serta tenaga produksi yang bekerja keras menjayakan konsert istimewa ini.

“Tanpa mereka, tiada Hafiz yang berdiri di sini hari ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik,” tambahnya.

Terdahulu, Hafiz membawakan 22 buah lagu di konsert berkenaan dengan antaranya termasuk lagu hits, Bahagiamu Deritaku,
Awan Nano, Ombak Rindu, Ku Akui, Matahari dan lain-lain.

Tidak cuma itu, seisi dewan turut menyaksikan kejutan istimewa apabila Hafiz membuat duet penuh emosi bersama Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment serta dua artis jemputan istimewa, Adira dan Umairah.

Penonton turut terhibur dengan susunan muzik yang kreatif dan transisi persembahan yang lancar, membolehkan setiap lagu dan kisah di sebaliknya disampaikan dengan penuh penghayatan, sambil muzik dikemudi dengan sempurna oleh komposer, Aubrey Suwito.

Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment ini turut mendapat sokongan penaja seperti Bienz, Solustra Perfum, dan Finura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN