KUANTAN: Tanpa pendidikan formal, seorang ibu kepada empat anak membuktikan usaha gigih dan pembelajaran kendiri mampu mengubah kerjaya jurusolek pengantin kepada perniagaan kreatif yang berkembang.
Hasil kepelbagaian perkhidmatan termasuk solekan pengantin, solekan seni (art makeup) dan dekorasi acara, Rosliza Awang Kechik, 42, mampu memperoleh pendapatan antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
Ia membuktikan industri berasaskan seni dan kreativiti mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi keluarga.
Rosliza berkata, perkhidmatan solekan pengantin menjadi asas kepada perniagaannya sebelum melihat potensi mempelbagaikan kemahiran bagi menampung keperluan pasaran hari ini.
“Art makeup mempunyai nilai komersial yang lebih luas dan tidak tertumpu kepada satu musim sahaja, berbanding solekan pengantin yang bergantung kepada permintaan tertentu.
“Solekan pengantin memberi pendapatan yang stabil pada peringkat awal. Namun, saya melihat art makeup mempunyai potensi pasaran yang lebih besar dan mampu menjana pendapatan berterusan,” katanya.
Rosliza berkata, kemahiran itu diperoleh secara kendiri menerusi platform digital tanpa mengikuti kursus formal atau latar belakang pendidikan khusus dalam bidang berkenaan.
“Beribu kali saya tonton video di YouTube untuk mempelajari teknik menyolek. Sama ada hasil jurusolek tempatan atau luar negara, semuanya menjadi rujukan untuk menambah baik kemahiran dan mendapatkan idea baharu,” katanya.
Rosliza mula sebagai jurusolek secara serius sejak 2004 ketika berusia 21 tahun dengan menjadikan jiran serta rakan sebagai pelanggan utama. – UTUSAN










