KUALA LUMPUR : Pelakon dan pempengaruh media sosial, Nadzmi Adhwa, dikecam warganet selepas memuat naik video menunjukkan kaunter di sebuah fasiliti kesihatan awam kosong dan tidak mempunyai kakitangan bertugas.
Menerusi hantaran tersebit, suami kepada pelakon dan pempengaruh yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), Ardell Aryana itu, dikatakan sengaja berbuat demikian sedangkan ketika rakaman itu dibuat,ia merupakan waktu rehat kakitangan klinik kesihatan berkenaan.
Selain rakaman, Nadzmi turut membuat hantaran berbentuk tulisan di Threads yang kemudiannya menuai respons pelbagai daripada warganet.
“Kaunter ada lima semua tutup. Oh tengah makan tengahari rupanya. Ini bukan contoh, ini betul-betul,” tulisnya.
Perkongsian Nadzmi itu turut menerima respons daripad salah seorang petugas klinik berkenaan yang tidak bersetuju dengan tindakan pelakon itu.
“Rasanya abang sendiri tanya saya tadi sekarang waktu ‘lunch’ ke? Saya sudah beritahu kami masih rehat. Pukul 1.30 petang baru kaunter buka semula.
“Tetapi apa motif kenyataan dengan video itu? Jawapan saya masih tidak memuaskankah?”respons petugas yang dikenali sebagai Farid Zakaria di Threads.
Tidak cuma itu, hantaran Nadzmi tersebut turut mendapat respons daripada suami kepada pelakon popular, Ummi Nazeera, iaitu Dr Izzar Anwari Abdul Khani.
“Dah nak 2026 ini, tapi masih ada yang petik kaunter di fasiliti kesihatan tiada staf pada waktu rehat tengah hari?
“Kaunter Hospital (Bahagian Kecemasan): Staf tengah uruskan kes kecemasan. Syukur anda masih mampu menunggu sambil ambil gambar kaunter.
“Kaunter Klinik Kesihatan: Staf tengah rehat, makan atau solat. Mereka juga manusia. Perlu rehat,”tulisnya.
Selain itu, Dr Izzar juga berharap agar seluruh petugas kesihatan dapat sentiasa menerapkan kesabaran yang tinggi dalam menyantuni setiap ragam individu yang hadir mendapatkan rawatan.
“Kepada semua petugas kesihatan, memang kita sentiasa diuji dengan ketidakpuasan hati individu-individu yang membuat komen tanpa usul periksa hal sebenar (tabayyun).
“Takpa, itu masalah mereka. Yang penting kita sendiri, rakan sekerja, serta bos kita tahu apa kita buat itu tak salah. Sentiasa ikhlaskan diri dalam bekerja.
“Biarlah apa orang nak kata. Yang penting, kita cari rezeki yang halal untuk keluarga kita. Kita tak boleh ubah mereka. Tapi kita ubah mentaliti kita. Bertabah semua. Insya-Allah,”katanya.
Dalam pada itu, menerusi hantaran terbaharu Nadzmi, pelakon itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka bagi menamatkan perdebatan isu itu di media sosial.










