KUALA LUMPUR: Pelakon, Rebecca Nur Al-Islam, berkongsi detik manis apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, dalam majlis konvokesyen yang berlangsung Khamis lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Rebecca memuat naik beberapa keping gambar bersama anak-anaknya dengan mengenakan jubah konvokesyen.
Jelasnya, kejayaan itu amat bermakna selepas hampir lima tahun berjuang meneruskan pengajian sambil menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada tujuh orang anak.
“Perjalanan pembelajaran hampir lima tahun bukanlah mudah.
“Dalam masa sama saya ibu kepada tujuh orang anak yang masih kecil, anak perempuan kepada ibu saya, isteri pada ketika itu, dan pada masa yang sama bekerja mencari rezeki halal,” katanya.
Mengimbau kembali liku hidup yang ditempuh, Rebecca mengakui segala cabaran itu mendidiknya untuk lebih reda dan menyerahkan sepenuhnya urusan hidup kepada ketentuan Ilahi.
Katanya, pengalaman tersebut turut menguatkan semangatnya demi anak-anak dan keluarga.
“Saya sedar dunia hanya sementara, dan saya di sini hanyalah pinjaman daripada Allah.
“Saya reda apa sahaja yang terjadi dalam hidup saya, dan saya bersyukur kerana percaya Allah sayang saya,” ujarnya.
Dalam kapsyen sama, Rebecca turut menitipkan pesanan buat anak-anak agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam walau apa pun dugaan yang datang.
“Ingat, hidup tidak selalunya indah, sayang. Kita pasti akan diuji. Pegang teguh pada agama dan al-Quran. Pandangan orang lain tidak penting, kita senyum dan ucap Alhamdulillah,” katanya.










