Bakat baharu yang semakin meniti bibir peminat, Arabella Ellen atau lebih mesra disapa Bella menegaskan bahawa dirinya tidak mahu mudah tenggelam dalam lautan pujian, meskipun semakin ramai pelakon senior mengakui potensi besar yang dimilikinya.
Ketika pelakon seperti Bell Ngasri, Elly Mazlein dan Fimie Don memuji sikapnya yang sentiasa bersedia di lokasi penggambaran, Bella mengakui dirinya hampir tidak percaya dengan respons positif daripada bintang senior yang lebih lama dalam industri.
Bagaimanapun, sehabis daya, Bella berkata dia enggan pujian itu menggoyahkan pendirian dan cara kerjanya sebagai seorang pelakon.
“Terkejut sangat bila dapat pujian. Sebab jarang senior nak puji. Tapi dalam hati, saya cakap pada diri sendiri jangan cepat selesa.
“Kalau kita hanyut dengan kata-kata orang, nanti kita sendiri yang rugi. Bagi saya, setiap hari bekerja di set adalah peluang menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman. Justeru, saya kena pastikan diri fokus dan melakukan persediaan awal,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Bella, dia tidak menafikan bahawa dirinya seorang yang cepat gementar ketika bekerja bersama pelakon tersohor.
Namun, rasa gugup itu diatasi dengan usaha keras sebelum setiap babak dijalankan.
“Saya cakap dengan diri sendiri, kalau saya tak bersedia, kalau saya ‘lost’ masa shoot, bukan saya seorang yang terganggu. Tindakan itu hanya akan menjejaskan pelakon lain juga sekali.
“Jadi saya kena jaga amanah watak itu. Bila di set, saya berinisiatif sendiri untuk mengulang skrip berkali-kali sepenuhnya. Bukan kerana arahan sesiapa.
“Saya rasa itu tanggungjawab saya sebagai pelakon. Peluang bukan selalu datang. Kalau dah dapat, kenalah buat sehabis baik,”katanya.
Walaupun profesional di hadapan kamera, Bella mengakui dirinya sebenarnya pemalu dan takut untuk menegur senior pada pertemuan awal.
“Orang kata, kalau sudah masuk dalam bidang seni ini, kenalah pandai bawa diri. Jasi saya sentiasa ingat pesanan emak saya, dia kata kalau jumpa artis veteran atau sesiapa di set, bagi salam, tegur.
“Jangan sombong walaupun segan. Ya, tidak dinafikan, saya ada perasaan segan dan malu itu. Maklumlah, orang baharu.
“Tetapi, Alhamdulillah,setakat ini semu pelakon senior dan artis lama yang saya jumpa atau berkerjasama baik-baik belaka. Setakat ini saya belum kena marah,”selorohnya.
Sementara itu, membawakan watak utama dalam drama fantasi Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup siaran Astro Ceria sebagai karakter Melor, Bella mengakui dia kini melangkah ke satu fasa lebih mencabar dalam dunia lakonan.
Watak yang memerlukan kemahiran bertarung dan memanah itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah menuntut persiapan rapi sebelum berada di hadapan kamera.
“Saya rasa sangat teruja sebab watak ini memberikan cabaran baharu kepada saya. Ini kali pertama saya bawa watak dalam dunia fantasi dan siap belajar memanah. Memang impian saya sejak lama,” katanya.
Walaupun tidak membesar dengan menonton hikayat Melayu atau filem hitam putih Batu Belah Batu Bertangkup, Bella tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan untuknya mendalami watak Melor.
Menerusi penerangan daripada pengarah Syamyl Othman dan bantuan rakan sepasukan, Bella mengakui semakin memahami elemen budaya dan emosi dalam kisah fantasi tersebut.
“Pengarah banyak membantu dengan menjelaskan mengenai karakter saya. Ketika berada di set pun, Syamyl selalu beri bimbingan. Fimie pun sangat membantu bila saya rasa tak kena dalam sesuatu babak.
“Pendek kata, memang kami semua saling berbincang jika ada yang tidak faham atau dalam usaha mewarnakan lagi karektor masing-masing,”katanya.
Pada masa sama, Bella turut berkongsikan pesanan bermakna oleh Elly Mazlein pada hari terakhir penggambaran bersama.
“Kak Elly cakap ekspresi saya dah okey untuk watak Melor ini, tapi kalau saya nak lebih bagus, tengoklah lebih banyak drama Korea sebab mereka ada pelbagai dimensi emosi. Saya setuju sebab itu juga antara rujukan kegemaran saya,”katanya.
Dalam pada itu, ditany mengenai cabaran untuk membawakan watak-watak lain selepas ini, Bella mengakui tidak menutup pintu untuk watak lebih ekstrem termasuk naskhah seram meskipun mengakui dirinya penakut.
“Saya suka tengok naskhah seram. Tapi nak berlakon naskhah seperti itu, terus-terang saya takut.
“Setahu saya, kalau terlibat dalam filem atau drama begitu, ‘shoot’ malam sampai pagi bukan? Memang tak sedia lagi saya ini. Tapi satu hari nanti saya nak cabar diri juga. Tengok macam mana,”katanya.
Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup bakal bersiaran bermula 14 November ini.
Siri enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn Bhd ini diolah semula mengikut cita rasa penonton masa kini dengan sentuhan visual moden yang menjanjikan pengalaman baharu buat penonton.
Selain Arabella, siri ini turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Diana Danielle, Alif Satar, Bell Ngasri, Elly Mazlein, Niezam Zaidi, Fimie Don serta ramai lagi.










