Caprice tidak sangka isteri sanggup bayarkan yuran guaman - Utusan Malaysia

Caprice tidak sangka isteri sanggup bayarkan yuran guaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan pempengaruh terkenal, Caprice mengakui terharu serta tidak menyangka isterinya, Farra Inalis, sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membayar yuran guamannya tanpa pengetahuannya.

Menurut Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh peguamnya yang menerima bayaran penuh bagi kos guaman tersebut.

“Salah seorang peguam yang saya gunakan untuk kes saman baru-baru ini menghantar mesej kepada saya dan memberitahu bahawa bayaran untuk kos guaman sudah diterima.

“Saya terkejut dan bertanya, ‘Bayaran apa? Saya belum bayar lagi, siapa yang bayar?’

“Rupanya, isteri saya yang telah melunaskan bayaran itu,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.

Tambah Caprice, apa yang membuatkan dirinya lebih terharu ialah apabila mengetahui isterinya menggunakan hasil perniagaan sendiri untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Kalau anda semua lihat di Instagram isteri saya, dia baru mula berniaga semula. Selama setahun setengah sebelum ini, saya memang tidak benarkan dia berniaga kerana mahu dia fokus menjaga anak.

“Tapi baru-baru ini dia minta izin untuk mulakan semula perniagaan dan saya benarkan. Saya tak sangka sebenarnya dia buat semua itu untuk membantu saya,” ujarnya.

Caprice turut mengakui tekanan kewangan yang dihadapinya ekoran pelbagai urusan dan saman perniagaan sebelum ini.

“Sebagai ketua keluarga, memang tanggungjawab saya menanggung semua bil dan perbelanjaan. Tapi dalam kes saya, bukan sahaja bil biasa, malah bil saman pun banyak.

“Tiga tahun kebelakangan ini, berapa banyak hasil perniagaan yang terpaksa digunakan untuk menyelesaikan semua itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Caprice turut menyeru orang ramai agar menyokong perniagaan baharu isterinya, She Slay.

“Kepada semua wanita, tolonglah sokong produk baru isteri saya, She Slay. Walaupun pada awalnya saya tak benarkan dia bekerja atau berbisnes sebab nak dia tumpu pada anak, tapi kali ini saya izinkan.

“Alhamdulillah, baru sehari mula berniaga pun sudah mendapat sambutan,” jelasnya.

Sementara itu, Caprice turut berkongsi berita gembira apabila permohonan injunksi melibatkan kes Murad Zaidi telah digugurkan oleh mahkamah.

“Syukur Alhamdulillah, satu lagi kemenangan untuk kami, demi keadilan dan kebenaran.

“Insya-Allah, kami akan terus membantu mana-mana pihak yang dianiaya di luar sana. Kami tak akan berhenti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN