SEOUL: Komuniti peminat kumpulan K-pop Le Sserafim dan ILLIT melancarkan protes menggunakan trak LED di luar ibu pejabat HYBE, Seoul, semalam bagi membantah kepulangan kumpulan NewJeans ke bawah label Ador.
Komuniti peminat dari China bagi kedua-dua kumpulan itu menghantar trak LED ke bangunan syarikat di Daerah Yongsan, memaparkan mesej seperti berikut.
“Kami tidak akan berkongsi sebarang kuasa, termasuk akses ke kemudahan syarikat, dengan pihak yang telah menyerang Le Sserafim secara berniat jahat.
“Berasa tertekan hanya dengan berjalan berhampiran HYBE? Mereka yang benar-benar menderita ialah Le Sserafim dan para peminatnya,”tulis kenyataan itu.
Ketiga-tiga kumpulan tersebut berada di bawah anak syarikat HYBE, iaitu NewJeans di bawah Ador, Le Sserafim di bawah Source Music dan ILLIT di bawah Belift Lab.
Ketegangan semakin memuncak selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ador, Min Hee-jin, terlibat dalam pertikaian pengurusan dengan HYBE awal tahun ini.
Dalam konflik tersebut, NewJeans memaklumkan kepada HYBE hasrat mereka untuk menamatkan kontrak eksklusif dengan Ador, sambil menyebut nama Le Sserafim dan ILLIT, sekali gus mencetuskan ketegangan.
Min mendakwa konsep ILLIT meniru konsep NewJeans dan HYBE mengabaikan bantahannya.
Min juga mendakwa debut NewJeans telah ditangguhkan kerana syarikat memberi keutamaan kepada Le Sserafim.
Source Music dan Belift Lab telah memfailkan saman ganti rugi dengan hujah kenyataan Min telah mencemarkan reputasi artis mereka.
Sebagai tindak balas, Min memfailkan laporan terhadap CEO Belift Lab, Kim Tae-ho, dan beberapa individu lain atas dakwaan fitnah mengikut Akta Rangkaian Maklumat dan Komunikasi.
Komen jahat yang menyasarkan Le Sserafim dan ILLIT turut meningkat, sekali gus memburukkan lagi ketegangan antara peminat.
Selepas NewJeans kalah dalam saman untuk mengesahkan kesahihan kontrak eksklusif dengan Ador dan memaklumkan label itu pada 12 November mengenai hasrat untuk kembali, peminat serta agensi Le Sserafim dan ILLIT mula menuntut perlindungan lebih tegas terhadap artis mereka.
Agensi ILLIT dan Le Sserafim turut mengeluarkan kenyataan berhubung peningkatan komen jahat tersebut.
Pada 14 November, Belift Lab memaklumkan bahawa walaupun sebahagian ahlinya masih di bawah umur, mereka terus menjadi sasaran serangan tanpa nama di komuniti dalam talian.
Agensi itu berkata pihaknya telah memperketat pemantauan dan akan mengambil tindakan lebih keras terhadap sebarang hantaran berunsur fitnah.
Source Music turut menyatakan bahawa siaran berniat jahat yang menyasarkan Le Sserafim meningkat secara mendadak dan mengumumkan rancangan untuk mengambil tindakan undang-undang.










