Balak haram: 43 kertas siasatan di Terengganu tahun lalu

Balak haram: 43 kertas siasatan di Terengganu tahun lalu

RAMLI Mat (dua dari kiri) beramah mesra bersama anggota penguatkuasa perhutanan semasa Pelancaran Op Kuda di Pejabat Perhutanan Terengganu Utara Batu Enam, Manir, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) membuka 43 kertas siasatan berhubung aktiviti pembalakan haram sepanjang 2025 dengan satu kes dibawa ke mahkamah melibatkan kompaun, denda dan ganti rugi hampir RM1 juta.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Ramli Mat berkata, penguatkuasaan berterusan dijalankan menerusi pelbagai operasi termasuk Op Kuda,yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.

Katanya, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada program rutin jabatan itu ketika musim perayaan dan cuti peristiwa bagi membanteras aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada pengesanan lori dan kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan kayu balak tanpa pas pemindah sah selain memantau hot spot dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“JPNT mengenal pasti 12 kawasan hot spot, iaitu lima di Terengganu Utara (Marang hingga Besut), dua di Terengganu Barat (Marang hingga Sempadan Aring) dan lima di Terengganu Selatan (Dungun hingga Kemaman),” katanya selepas melakukan gimik Pelancaran Op Kuda TBC 2026 di Pejabat Perhutanan Terengganu Utara, di sini, hari ini.

Ramli berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 43 kes direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM942,000 yang disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). 

“Pada 28 Januari lalu, kita juga menyita empat lori yang membawa muatan kayu balak pendek tanpa pas pemindah. Dalam operasi selama seminggu itu membabitkan 32 anggota penguatkuasa iu, fokus diberi kepada laluan panas lori balak serta kawasan sensitif dalam HSK Terengganu,”katanya.

Menurut beliau, sepanjang 2025, JPNT melaksanakan 2,003 rondaan dan pemantauan, selain sembilan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain, serta lima Operasi Khazanah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN