Babak atas katil, saya tidak menyesal - Elvina Mohamad - Utusan Malaysia

Babak atas katil, saya tidak menyesal – Elvina Mohamad

PETALING JAYA, 29 OKTOBER 2025 - Pelakon, Datin Elvina Mohamad pada Majlis Sidang Media Drama Safira yang diadakan di Pavillion Damansara di sini, hari ini. Gambar; M. Firdaus M. Johari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon jelita, Datin Elvina Mohamad, 30, kembali menjadi bualan hangat di media sosial selepas satu babak daripada drama terbaharunya, Safira (Bukan Nama Sebenar), tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton. 

Adegan di atas katil yang ‘melibatkan’ watak lakonannya mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang memuji keberanian Elvina, namun tidak kurang juga yang mengecamnya kerana dianggap terlalu berani dan tidak sesuai dengan imejnya selama ini.

Namun begitu, Elvina tampil tenang menjelaskan situasi sebenar di sebalik babak yang menjadi buah mulut ramai itu. 

Katanya, tidak semua yang dilihat penonton di skrin dilakukan olehnya sendiri.

“Tentang babak yang tular baru-baru ini, saya ingin jelaskan bahawa dalam proses penggambaran, sememangnya ada penggunaan ‘double body’ dan teknik kamera untuk sesetengah adegan.

“Sebagai pelakon, tentu ada perkara yang kami tidak bersetuju untuk lakukannya sendiri, sebab itulah pelakon pengganti digunakan.

“Bagaimanapun, kami tetap menghormati keputusan pengarah dan penerbit,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, Rabu lalu. 

Menurut pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak ini lagi, dia dan barisan pelakon lain tidak mengetahui lebih awal bahawa akan ada babak sebegitu ketika mula menerima tawaran berlakon dalam drama tersebut.

“Skrip yang diterima secara berperingkat menyebabkan kami tidak tahu awal-awal bahawa akan ada adegan sebegitu. Bila sampai episod-episod seterusnya, barulah kami sedar. 

“Walaupun ada rasa berat hati, kami tetap berbincang dengan pengarah untuk mencari jalan terbaik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pelakon Takdir Yang Tertulis itu berkata walaupun babak berkenaan menjadi tular dan mengundang pelbagai kecaman, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk membintangi drama Safira.

“Apabila babak itu menjadi tular, saya tidak menyesal. Bagi saya, orang akan tetap bercakap, sama ada kita lakonkan sendiri atau tidak. 

“Matlamat utama saya ialah untuk membuat penonton percaya dengan lakonan saya. Yang penting, orang di sekeliling saya tahu kebenarannya,”ujarnya. 

Dalam pada itu, Elvina turut mendedahkan bahawa keluarganya tidak memberikan sebarang komen tentang isu yang hangat diperkatakan itu, namun dia menyedari ada segelintir peminat yang meluahkan rasa kecewa.

“Tentang reaksi keluarga, mereka tidak memberi sebarang komen. Namun saya tahu ada segelintir peminat yang kecewa dan menyatakan mahu ‘menarik sokongan’ kerana tidak biasa melihat saya membawakan watak sebegitu. 

“Bagaimanapun ia terpulang kepada pandangan masing-masing,”katanya. 

Kesukaran bawa dua watak

Sementara itu, ditanya mengenai cabaran, Elvina mengakui wataknya kali ini bukan sekadar mencabar dari segi emosi, tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap mental dan fizikalnya.

Dalam Safira, Elvina perlu membawakan dua watak berbeza iaitu  Safira dan Nilam yang mana, masing-masing mempunyai personaliti yang bertentangan.

“Boleh dikatakan hampir semua babak agak mencabar kerana skrip yang kami terima adalah secara berperingkat, kami hanya menerima separuh daripada skrip sebelum penggambaran bermula. 

“Apabila penggambaran sudah berjalan, barulah kami menerima skrip bahagian seterusnya, dan pada ketika itu kami baru tahu ada babak-babak tertentu yang memerlukan persediaan berbeza.

“Walau bagaimanapun, setelah menerima tawaran ini, saya perlu meneruskannya walaupun agak sukar. Saya banyak menerima tunjuk ajar daripada pengarah,”ujarnya. 

Selain itu, tambahnya, watak berganda itu benar-benar menguji kekuatan emosinya kerana Safira menggabungkan unsur komedi dan drama sedih, dua genre yang menuntut tenaga dan kepekaan emosi berbeza.

“Secara jujur, penggambaran kali ini memberi kesan juga kepada emosi dan mental saya kerana jalan cerita menggabungkan unsur komedi dan drama sedih, yang memerlukan perubahan emosi yang besar. 

“Setiap hari kami menjalani penggambaran babak dan penampilan yang berbeza-beza. Watak Nilam dan Safira, contohnya, mempunyai perwatakan serta gaya yang sangat berbeza. 

“Nilam ialah gadis ceria dan ringkas, manakala Safira pula mempunyai karakter yang lebih serius dan kompleks. Oleh itu, saya perlu benar-benar bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,”ujarnya. 

Dalam pada itu, meskipun berdepan tekanan, Elvina menganggap cabaran ini sebagai sebahagian daripada proses kematangan dalam kerjaya lakonannya. 

“Saya percaya setiap projek datang dengan cabaran tersendiri. Apa yang penting, saya mahu terus memberikan yang terbaik dan membuktikan bahawa saya bukan menjual rupa, tetapi juga pelakon yang mampu menyampaikan bakat emosi dengan jujur,” kongsinya. 

Safira (Bukan Nama Sebenar) bakal ditayangkan di aplikasi iQIYI bermula 7 November ini setiap Jumaat dan Sabtu, jam 8 malam. 

Selain Elvina, drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Redza Rosli, Datuk Aaron Aziz, Sazzy Falak, Emelda Rosmila dan ramai lagi. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN