KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Suip mendedahkan dirinya kini masih solo dan memilih untuk memberi fokus kepada kehidupan serta kerjaya sebelum memikirkan soal pengganti.
Menurut juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu, meskipun ada yang cuba mengusiknya tentang status terkini, beliau lebih selesa mengambil pendekatan untuk ‘berkawan dahulu’ sebelum melangkah ke fasa lebih serius.
“Itu semua usik-usik sahaja. Saya rasa proses untuk bercinta ini ambil masa. Saya kena berkawan dulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Hafiz, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, berkata dia kini lebih berhati-hati dalam mengenali seseorang memandangkan kehidupannya tidak sama seperti ketika zaman bujang dahulu.
“Sekarang dah lain. Kita dah ada komitmen, ada anak-anak. Jadi, bagi saya penting untuk kenal dulu sama ada seseorang itu boleh terima diri saya seadanya,” ujarnya.
Mengulas mengenai persepsi kononnya beliau masih ‘panas di pasaran’, Hafiz berseloroh bahawa bukan mudah untuk mencari pasangan yang benar-benar memahami situasinya sebagai bapa dan artis.
“Saya tergelak juga apabila orang kata saya hot, tapi saya ibarat macam kereta juga. Orang mesti nak yang baru.
“Tapi bagi saya, tak apa, biar berkawan dulu. Kalau betul dah bersedia nanti, saya akan beritahu,” katanya sambil ketawa.
Tambah penyanyi lagu Awan Nano itu, fokus utamanya kini tertumpu kepada kerjaya seni dan kesejahteraan diri.
“Saya ni bukan jenis boleh multitasking. Kalau buat banyak benda sekaligus, nanti serabut. Jadi saya pilih untuk fokus satu-satu dulu,” jelasnya.
Hafiz kini dilihat semakin aktif dengan beberapa projek muzik baharu dan terus mendapat sokongan kuat daripada para peminatnya sejak lebih sedekad dalam industri hiburan tanah air.
Sementara itu, Hafiz akan mengadakan konsert sulungnya di Mega Star Arena Kuala Lumpur esok.
 
								
 
								 
								 
											









