Entah mengapa, sejak banyak isu jenayah dan buli membabitkan pelajar sekolah dan golongan remaja, masyarakat mudah menuduh bahawa segalanya berpunca daripada pengaruh filem dan drama di kaca televisyen.
Kata mereka, disebabkan tayangan berunsur keganasan seperti itu di kaca televisyen dan platform penstriman, ia kononnya menjadi antara faktor utama yang membentuk tingkah laku negatif, terutamanya dalam kalangan anak muda.
Bagaimanapun, bagi pelakon, Mira Filzah, pandangan sebegitu perlu dinilai secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, industri hiburan sememangnya mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat, tetapi adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab sepenuhnya di bahu para penggiat seni.
Tegas Mira, karya seni tidak seharusnya dilihat sebagai punca masalah sosial, sebaliknya boleh menjadi medium penting untuk menyampaikan mesej dan pengajaran kepada penonton.
“Saya percaya industri kita memang memberi impak yang besar sebab apa yang kita tunjuk, mereka lihat dan serap.
“Tetapi penting untuk kita hasilkan karya yang ada pengajaran, bukan sekadar hiburan kosong.Kalau nak buat filem tentang buli, contohnya, mesti ada mesej di sebaliknya, bukan hanya tunjuk perbuatan buli semata-mata,” kata Mira ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mira menambah, masyarakat perlu sedar bahawa pengaruh terhadap remaja hari ini datang daripada pelbagai sumber, bukan hanya filem dan drama semata-mata.
Ini kerana dunia digital yang luas serta kemudahan akses internet tanpa kawalan juga menjadi antara punca utama perubahan tingkah laku generasi muda masa kini.
“Sebenarnya dalam satu telefon sahaja sudah banyak sumber pengaruh. Bukan hanya drama atau filem, tapi juga permainan dalam talian, media sosial dan macam-macam lagi.
“Jadi, bukan satu pihak sahaja yang perlu dipersalahkan. Sebagai contoh lain, permainan, kandungan dalam talian dan sebagainya juga boleh menjadi punca kepada isu yang disebutkan. Jadi, tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama, termasuk oleh ibu bapa.
“Saya sendiri mengawal penggunaan gajet anak saya, bermula dari usia awal.Anak saya baru berusia tiga tahun, dan saya hadkan masa skrin dia. Kami ada jadual khusus dan biasanya saya tanya dia mahu tonton berapa episod, dan setiap episod sekitar 15 minit.
“Jadi, dalam sehari mungkin 30 minit sahaja. Saya cuba berbincang dan berunding dengannya supaya dia belajar disiplin dari awal,”katanya.
Menurut Mira lagi, isu sosial yang sering menjadi tular di media kadangkala memberi gambaran seolah-olah masyarakat semakin tenat.
Walhal, kata pelakon berusia 32 tahun ini, dia percaya bahawa masih ramai remaja dan keluarga di luar sana yang mempunyai nilai positif serta berdisiplin tinggi.
“Kadang-kadang bila satu kes jadi viral, ia nampak besar. Tapi sebenarnya saya percaya masih ramai anak muda di luar sana yang baik, berpendidikan dan mempunyai nilai yang betul.Jadi saya rasa tak adil kalau semua dipersalahkan pada filem atau drama tempatan,” ujarnya.
Selain itu, Mira turut berpendapat bahawa industri hiburan seharusnya terus memainkan peranan sebagai medium yang membina dan mendidik.
Dengan menghasilkan karya yang berkualiti serta sarat mesej positif,Mira percaya ia bukan sahaja mampu memberi kesedaran, tetapi juga memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan penonton.
“Industri kita memang berperanan besar untuk memberi kesedaran. Kalau setiap karya ada mesej positif, saya percaya penonton akan lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu,” ujarnya.
Akad Yang Hilang
Dalam pada itu, Mira turut mengakui teruja apabila berpeluang bekerjasama buat kali pertama dengan syarikat produksi tersohor, Astro Shaw, menerusi filem Akad Yang Hilang yang baharu sahajamenjalani penggambarannya baru-baru ini.
Menurut Mira, walaupun jadual penggambaran berlangsung dalam tempoh yang amat singkat, segalanya berjalan dengan lancar hasil kerjasama seluruh tenaga produksi serta tunjuk ajar daripada pengarah berpengalaman, Bahri Uma Bajuri.
“Dari segi persiapan, saya rasa seluruh proses penggambaran ini berjalan dengan sangat cepat. Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya, betulkah saya sedang berlakon untuk filem? Ini sudah hari ke-12, dan hari ini merupakan hari terakhir penggambaran,”katanya.
Berkongsi tentang watak yang dibawanya kali ini, Mira menjelaskan bahawa karakter tersebut menuntut sisi emosi yang mendalam, namun tetap memiliki kepelbagaian rasa yang menarik untuk diterokai.
“Watak saya kali ini ialah watak air mata, tetapi tidak sepanjang masa bersedih kerana ada juga sisi lain yang berwarna.
“Saya juga sangat selesa bekerja dengan Sherie Merlis dan Aeyda, terutamanya kerana dalam cerita ini mereka memainkan watak ahli keluarga saya.
“Walaupun ini kali pertama kami bekerjasama, hubungan di set sangat baik dan serasi,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Mira, dia juga menganggap peluang bekerjasama dengan Astro Shaw sebagai satu pencapaian peribadi yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Astro Shaw. Walaupun projek itu besar atau kecil, saya percaya setiap orang ada masa dan peluang masing-masing.
“Apabila saya tahu projek ini di bawah Astro Shaw, saya terus bersetuju.Bekerja dengan Astro Shaw memang ada dalam senarai saya. Bila peluang datang, saya terus terima tanpa berfikir panjang,” katanya.









