BUKIT JALIL: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana tetap tegas dengan pendiriannya untuk tidak mengulas sebarang perkara berkaitan kehidupan peribadinya, termasuk isu rumah tangga yang menjadi bualan ramai kebelakangan ini.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 40, berkata, hal berkaitan rumah tangga adalah sesuatu yang terlalu peribadi dan tidak wajar dikongsi dengan umum.
“Saya memang tak mahu beri sebarang penjelasan mengenai rumah tangga saya sebab saya rasa ia tak penting untuk diketahui orang ramai.
“Saya tak kata saya bahagia, sebab semua pun tahu rumah tangga ada pasang surutnya. Apa yang penting, kita jaga privasi masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Filem Hayya 3: Gaza di Pavilion Bukit Jalil, kelmarin.
Tambah Zizi, dia bukan seorang yang gemar mendedahkan hal peribadi dan lebih selesa jika kehidupan rumah tangganya tidak menjadi bahan perbincangan awam.
“Saya memang seorang yang menjaga hal peribadi. Saya tak mahu orang ambil tahu tentang rumah tangga saya,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kejutan yang dikatakan disediakan oleh suaminya, pelakon Yusuf Bahrin, selepas kepulangannya dari misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Zizi menjawab tenang.
“Tiada apa, kejutannya saya balik. Itu saja.”katanya.
Terdahulu, Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, dalam satu kenyataan memaklumkan beliau sudah menyiapkan kejutan istimewa buat isterinya yang baru pulang dari misi tersebut.
“Alhamdulillah, saya dah jumpa Zizi. Saya suruh dia tunggu di rumah sebab ada kejutan untuk dia, tapi saya tak boleh beritahu apa kejutan itu,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan All Together Now Malaysia.
Sebelum ini, rumah tangga mereka menjadi perhatian netizen selepas didakwa sudah tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.










