KUALA LUMPUR:Penyanyi dan pelakon, Amylea Azizan, 38, mengesahkan bahawa rumah tangganya bersama suami, Mohammad Aqbar Mohamad, telah berakhir selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, menurut Amylea,dia enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan tersebut kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.
Pun begitu, Amylea memaklumkan bahawa dia telahpun selesai menjalani tempoh idah dan kini berada dalam keadaan baik.
“Assalamualaikum. Berat hati saya untuk memaklumkan bahawa saya bukan lagi isteri kepada Mohammad Aqbar Mohamad.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Tambah penyanyi lagu Tak Pernah Hilang itu, walaupun hubungan suami isteri telah berakhir, dia tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami serta keluarga mentua dan anak-anak tiri.
“Saya sangat menghormati dan menyayangi ibu mentua, seluruh keluarga bekas suami serta anak-anak tiri saya.
“Kami masih berhubungan baik. Saya sudah lama tamat idah dan berada dalam keadaan sejahtera,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amylea turut meluahkan rasa reda dengan ketentuan Ilahi serta mendoakan agar insan-insan tersayangnya tidak melalui kesedihan yang sama.
“Saya berdoa agar kesedihan seperti yang saya alami tidak menimpa orang yang saya sayangi. Saya ikhlas dalam perkahwinan kami dan kini reda dengan takdir Allah. Doakan saya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Amylea tidak mendedahkan tarikh sebenar perceraian mereka.
Untuk rekod, Amylea dan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2023.