Saya tidak gembira, Kamal Adli mahu selamatkan rumah tangga - Utusan Malaysia

Saya tidak gembira, Kamal Adli mahu selamatkan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Muncul di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 9.45 pagi, pelakon, Kamal Adli, mengakui tidak menyangka akhirnya perkahwinan yang dibina selama empat tahun bersama Uqasha Senrose dilanda ujian.

Menurut Kamal, meskipun isterinya itu berhasrat untuk bercerai, dia bagaimana pun enggan berbuat demikian dan mengakui masih mahu menyelamatkan rumah tangganya.

Kamal berkata, ini merupakan pengalaman pertama buatnya berada dalam situasi sebegitu dan dia hadir ke mahkamah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah.

“Macam hari itu, saya tak dapat nak datang ke mahkamah sebab saya ada masalah sikit. Saya ada kerja.

“Jadi hari ini saya datang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, seorang ayah. Insya-Allah, doa baik-baik saja. Saya gementar sebenarnya. Saya tak pernah sampai tempat-tempat macam ini.

“Jadi saya cuba untuk tanggani perkara ini. Hal ini sangat tak menyeronokkan untuk saya. Saya tak gembira pun untuk sampai sini (mahkamah) sebenarnya. Saya nak selamatkan rumah tangga saya,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Selain itu, Kamal turut memaklumkan bahawa komunikasi antara dirinya dan Uqasha kini hanya dilakukan menerusi peguam.

“Saya dah kena ‘block’ sejak 27 September, biasalah perempuan merajuk. Saya hanya boleh berkomunikasi menerusi peguam sahaja. Jadi terpaksa, kita orang hanya melalui surat-menyurat sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan yang dijadualkan pada 22 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan susulan ketiadaan pihak defendan yang ketika itu sedang menjalani penggambaran.

Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menjelaskan bahawa ia bukan berpunca daripada orang ketiga.

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.

Sebelum ini juga, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet mengenai status hubungan mereka.

Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN