Kekasih Beego marah-marah, desak saya segera berpisah - Linda Hashim - Utusan Malaysia

Kekasih Beego marah-marah, desak saya segera berpisah – Linda Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim mendedahkan dirinya didatangi seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan suaminya, pelakon Beego, ketika proses perceraian mereka masih berjalan di mahkamah.

Menurut Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, wanita terbabit tanpa segan mendesak supaya dia segera berpisah dengan Beego kerana mahu memulakan kehidupan baharu bersama aktor berkenaan.

“Semalam kekasih dia cari saya dan marah-marah, katanya jangan beri harapan kepada Beego sebab mereka nak mulakan hidup baharu.

“Saya pun cakap, teruskanlah. Saya ke mahkamah pun memang untuk bercerai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Filem Hayya 3: Gaza di Pavilion Bukit Jalil, semalam.

Tambah Linda, insiden berkenaan bukanlah kali pertama dirinya diserang oleh wanita yang dikaitkan dengan suaminya.

Katanya, dia sering menjadi tempat luahan perasaan kepada individu yang mempunyai masalah dengan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah.

“Bila mereka tengah seronok, penyondol ini lupa saya siapa. Tapi bila ada masalah, baru cari saya. Mereka boleh buat sesuka hati, tapi jangan ganggu saya,” tegasnya.

Selain itu, Linda turut mengakui sudah terlalu terbeban dengan keadaan itu memandangkan isu rumah tangganya sendiri masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun hampir setahun berlalu.

Dalam pada itu, Linda menafikan dakwaan Beego yang mendakwa dirinya menggunakan lafaz taklik untuk mempercepatkan proses perceraian.

Jelas Linda, tindakan tersebut dibuat atas arahan mahkamah selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat dan mendapati wujud pelanggaran taklik.

“Hakim yang arahkan saya failkan lafaz taklik selepas laporan JKP. Kalau daripada awal saya nak guna taklik, saya boleh saja tuntut fasakh, tapi saya mahu bercerai secara damai,” ujarnya.

Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian terhadap Beego pada Januari lalu atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan ini sebelum itu pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama. Mereka kemudian dikatakan kembali bercerai beberapa bulan selepas itu namun kembali bersama tidak lama kemudian.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN