Keganasan rumah tangga tidak semestinya berhenti di situ - Zahnita Wilson

Keganasan rumah tangga tidak semestinya berhenti di situ – Zahnita Wilson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan peragawati terkemuka tanah air, Zahnita Wilson, tampil memberi pesanan buat wanita yang sedang atau pernah melalui pengalaman keganasa. rumah tangga serta kawalan paksaan oleh pasangan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya, Zahnita menzahirkan sokongan moral kepada kaum wanita yang menjadi mangsa agar terus kuat berdepan ujian.

Malah, Zahnita turut mengingatkan bahawa perjuangan mereka belum berakhir walaupun sudah berjaya keluar daripada hubungan toksik.

“Kepada wanita yang sedang mengalami keganasan rumah tangga atau kawalan paksaan oleh pasangan, apabila anda berjaya keluar (dan anda pasti akan keluar!), memang ada rasa lega dan bebas daripada persekitaran toksik yang selama ini menekan jiwa.

“Namun, saya ingin memberi amaran bahawa penderaan itu tidak semestinya berhenti di situ,” katanya.

Menurut Zahnita, mangsa perlu berwaspada terhadap kempen fitnah dan tuduhan palsu yang mungkin dilemparkan untuk mencemarkan nama baik mereka serta mengalih perhatian mahkamah.

“Bersedialah kerana anak-anak juga boleh dijadikan senjata terhadap anda.

“Mereka akan cuba memusnahkan usaha anda mencari rezeki dan menghalang anda berdikari. Mereka menikmati penderitaan anda,” ujarnya lagi.

Zahnita turut menasihatkan mangsa agar mempersiapkan diri dari segi mental dan emosi, kerana selepas keluar daripada hubungan berisiko, mereka mungkin akan terus diganggu, diugut dan diawasi.

“Jika melibatkan pertuduhan jenayah, bersedialah untuk berdepan dengan cubaan ugutan dan rasuah.

“Anda mungkin akan menjadi buntu, menangis, atau hilang arah, tidak mengapa. Walau seberat mana cabaran datang, jangan berpatah balik!” pesan Zahnita.

Mengakhiri kenyataannya, Zahnita menyeru agar semua wanita terus teguh mempertahankan maruah diri serta yakin bahawa kebenaran akhirnya akan terserlah.

“Dengan kesabaran datangnya kebajikan. Kebenaran pasti akan menang,” katanya.

Pada Mei lalu, Zahnita nekad meneruskan perceraian dengan suaminya, Abd. Zackery Ghouse, 47, kerana merasakan kedua-dua mereka tidak lagi boleh hidup bersama sebagai sebuah keluarga seperti mana sebelum ini.

Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.

Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Abd. Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Abd. Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 3 Disember tahun lalu.

Kemudian pada Mac lalu, Abd. Zackery memaklumkan mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.

Abd. Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, empat tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN