JAKARTA: Penyanyi terkenal Indonesia, Raisa Andriana, akhirnya tampil menjelaskan mengenai keruntuhan rumah tangganya menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di media sosialnya, hari ini.
Menurut Raisa, keputusan untuk berpisah itu dibuat selepas melalui proses pertimbangan yang panjang dan mendalam bersama suaminya, Hamish Daud.
“Setelah melalui banyak pertimbangan dan pemikiran panjang, kami memilih untuk menempuh jalan masing-masing.
“Keputusan ini kami ambil bersama dan sudah lama kami bincangkan dalam ruang peribadi sebelum akhirnya dikongsikan kepada semua,” katanya.
Penyanyi lagu Serba Salah itu turut menjelaskan bahawa sepanjang proses tersebut, mereka berdua sentiasa berusaha memahami keperluan masing-masing dan menjaga hubungan dengan penuh hormat.
“Kami berharap agar masing-masing dapat menemukan kedamaian dan terus berkembang, sebagai individu, sebagai ibu bapa kepada Zalina, dan sebagai profesional dalam bidang masing-masing,” tambahnya.
Raisa turut menegaskan bahawa hubungan mereka masih baik meskipun tidak sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, katanya, kasih sayang terhadap anak perempuan mereka, Zalina, tidak akan pernah pudar.
“Yang tidak akan berubah adalah cinta kami kepada Zalina. Sudah menjadi tanggungjawab seumur hidup kami untuk menjaga dan membesarkan putri kami dengan penuh kasih sayang sebagai ibu bapa bersama (co-parents),” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Raisa memohon agar orang ramai memberi ruang privasi kepada keluarganya supaya anak mereka dapat membesar dalam suasana yang aman dan sihat.
“Ini bukan kerana kami menyerah, tetapi kerana kami berusaha untuk bersikap bijaksana. Terima kasih atas segala kasih dan pengertian kalian semua,” katanya.










