KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui wujudnya kelompongan perundangan, terutama di bawah peruntukan Kanun Keseksaan sehingga menyukarkan tindakan susulan diambil terhadap individu ditahan terlibat aktiviti tidak bermoral dalam serbuan di sebuah spa di Chow Kit pada November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekecewaan untuk mendakwa semua individu terlibat turut dirasai pasukan polis memandangkan pelanggaran undang-undang itu jelas berlaku.
Katanya, kerajaan menyedari terdapat kelompongan perundangan dan turut megakui perkara itu tanpa sebarang sindrom penafian dalam usaha menangani aktiviti tidak bermoral.
“Apabila pasukan polis memberikan taklimat, mereka juga melahirkan kekecewaan kerana walaupun pelanggaran undang-undang berlaku secara jelas, terdapat kekangan perundangan yang menghalang tindakan lanjut, dan di sinilah keperluan untuk kita memperkemaskannya.
“Susulan itu, saya segera mengarahkan langkah proaktif diambil untuk menyemak semula serta memperkukuh kerangka perundangan sedia ada.
“Tiada sebarang pertimbangan lain diperlukan, khususnya melibatkan Kanun Keseksaan bagi memastikan aktiviti songsang yang bertentangan dengan norma moral dan ketenteraman awam ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin berkata, cadangan untuk menyemak semula serta memperkukuh kerangka perundangan sedia ada sedang diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
“Bagi peruntukan Kanun Keseksaan, ia memerlukan Menteri Undang-Undang untuk dibawa ke Parlimen, manakala polis hanya berperanan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
“Oleh itu, usaha penambahbaikan ini akan dilaksanakan secara teliti bagi mengimbangi keperluan ketenteraman awam, kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di kawasan Chow Kit dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tanpa pengakuan mangsa, siasatan mengikut Seksyen 377 (persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.
Dalam serbuan berkenaan, seramai 208 individu ditahan termasuk 17 penjawat awam, selain rampasan kondom dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan tidak bermoral. – UTUSAN








