KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aiman Tino mengakui teruja apabila diberi peluang membawakan watak Razif dalam drama terbaharu bertajuk 100 Days To Ask Your Crush Out yang kini ditayangkan di saluran Viu.
Menurut Aiman, peluang tersebut cukup istimewa kerana ia memberi pengalaman baharu buat dirinya yang tidak pernah merasai kehidupan sebagai seorang pelajar kolej.
“Selepas tamat persekolahan, saya terus diceburi dunia nyanyian pada usia 18 tahun. Jadi saya memang tidak ada pengalaman bergelar pelajar kolej. Jadi menerusi watak ini, dapat jugalah saya rasa jadi pelajar kolej,”katanya.
“Watak Razif ini membuatkan saya dapat merasa suasana dan pengalaman itu walaupun hanya di dalam drama,” katanya.
Tambah Aiman, karakter Razif yang nakal dan berjiwa muda juga berjaya mencuit hatinya serta memberi ruang untuk dirinya keluar daripada kebiasaan.
“Razif ada sisi nakal yang saya suka. Ia membolehkan saya menampilkan karakter berbeza berbanding watak biasa yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Dalam masa sama, ia juga mengingatkan saya kepada zaman remaja,” ujarnya.
Aiman turut menegaskan bahawa dia terbuka untuk mencabar diri dengan watak yang lebih pelbagai selepas ini.
Baginya, selagi mampu menambah pengalaman dalam bidang lakonan, tiada istilah putus asa atau mahu berhenti sekerat jalan.
Selain Aiman, drama romantik 30 episod ini turut dibintangi oleh Harissa Adlynn dan Aniq Suhair.
Drama ini diterbitkan khas untuk generasi muda yang gemar menonton secara maraton, dengan episod baharu ditayangkan setiap hari secara eksklusif di Viu.
Mengangkat tema keyakinan diri, ekspresi diri dan cinta pertama, siri ini menjanjikan pengalaman menonton yang menyentuh hati dan penuh warna.