KUALA LUMPUR: Pelakon, Anzalna Nasir tampil memberi reaksi santai terhadap komen segelintir netizen yang mempersoalkan kehadirannya sebagai pembawa dulang hantaran pada majlis pernikahan pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Amira Othman.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Anzalna meluahkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya, malah tidak sesekali menyimpan rasa benci terhadap yang sebaliknya.
“Kenapa tak suka saya angkat dulang? Okey, baiklah lepas ini saya angkat kerusi pula!
“Saya sayang semua yang sokong saya, yang tak sokong pun saya tetap sayang juga. Sebab inilah kehidupan ada yang suka, ada yang tak suka, tapi kita santai sahaja sebab saya tak akan buka ruang untuk benci.
“Kalau kita belajar suka semuanya, hidup jadi lebih tenang, hati jadi bahagia,”katanya.
Kata-kata penuh jenaka itu sekali gus menamatkan persepsi negatif yang timbul sejak majlis tersebut berlangsung.
Malah, reaksi positif Anzalna menerima pujian ramai kerana memilih untuk kekal tenang dan berlapang dada, walaupun berdepan pelbagai kecaman.
Terdahulu, penyertaan Anzalna sebagai gadis dulang pada majlis itu hangat diperkatakan di media sosial kerana hubungannya yang diketahui akrab dengan bekas isteri Fattah, iaitu pelakon Nur Fazura.
Namun, Anzalna sebelum ini menegaskan dirinya tidak berpihak kepada sesiapa dan sentiasa menghormati kedua-duanya sebagai sahabat baik. – UTUSAN










