SEOUL: Pelakon popular Korea Selatan, Lee Min Ho kembali menjadi bualan hangat selepas sekali lagi dikaitkan dengan anak keluarga konglomerat, Joanna Chun.
Kedua-duanya dilihat menghadiri acara eksklusif Paradise Art Night 2025 yang berlangsung di Seoul pada 1 September lalu yang mana,acara berprestij itu dianjurkan oleh syarikat milik keluarga Joanna, Paradise Group, yang dipimpin bapanya, Philip Chun.
Majlis tersebut hanya terbuka kepada jemputan khas terdiri daripada tokoh perniagaan ternama dan artis terkenal termasuk anggota kumpulan Blackpink, Jisoo, Rosé dan Lisa serta RM dan V daripada BTS.
Walaupun Lee Min Ho tidak dirakamkan media ketika hadir, model Jepun, Yano Shiho, berkongsi potret bersamanya di Instagram.
Malah, terdapat foto lain yang menunjukkan pelakon drama When The Stars Gossip itu duduk bersebelahan dengan Joanna.
Lebih menarik perhatian, Joanna turut kelihatan mesra bergambar bersama V BTS, yang pernah dikhabarkan menjalin hubungan dengannya pada tahun 2021.
Spekulasi mengenai Lee Min Ho dan Joanna bukanlah sesuatu yang baharu. Tahun lalu, kedua-duanya dilaporkan menghadiri acara yang sama di Jepun dan menginap di hotel serupa. Namun, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada kedua-dua pihak.
Sumber terdekat keluarga Paradise Group pula memaklumkan, keluarga tersebut tidak keberatan dengan hubungan Joanna dan aktor berusia 38 tahun itu kerana reputasi Lee Min Ho bersih daripada sebarang skandal.
Dalam wawancara terbaharu, bintang kelahiran 22 Jun 1987 itu juga mengakui sudah memikirkan soal berkeluarga.
“Semakin meningkat usia, saya semakin jelas dengan apa yang penting dalam kehidupan. Membina keluarga dan memiliki anak adalah sesuatu yang berharga,” katanya.