Kita tinggalkan seketika perbalahan yang melanda peminat jenama XPDC ini, biarpun terdapat segelintir individu fanatik yang masih mempertikai serta mempersoalkan keaslian kumpulan yang berkongsi nama ini. Namun mereka dilihat terus membina reputasi serta mengumpul peminat masing-masing.
Istilah, ‘ori’, ‘copy’, ‘celup’ dan sebagainya kita letakkan ke tepi buat sementara waktu kerana masing-masing punya kekuatan dengan jenama yang dibawa terutamanya apabila ada beberapa anggota asal yang memilih untuk berada di kem berlainan.
Secara jujurnya saya mengiktiraf setiap kerja keras mereka berdasarkan prinsip dan perjuangan. Jenama bukanlah benchmark untuk terus kekal berada di atas, tetapi apa yang ditagih peminat pastinya kualiti muzik yang diperjuangkan.
Bercerita tentang XPDC di bawah naungan Izo, Eddie, Lola, Arif dan Mamu pastinya berbeza dan memberi keterujaan. Izo yang selama ini merupakan tulang belakang bersama arwah Mael telah berjaya membawa kumpulan ini ke landasan tepat sehingga mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air.
Bermula dari album Darjah Satu hingga seterusnya, XPDC berjaya mencipta legasi dengan keunikan muzik yang dipersembahkan sekali gus berjaya menghimpunkan puluhan ribu fans tegar mereka.
Namun siapa sangka panas yang diharapkan hingga ke petang akhirnya tidak berpanjangan. Kumpulan ini akhirnya berpecah dengan membawa hala tuju masing-masing bersama kelompok peminat mereka.
Sebagai figura yang banyak menyumbang tenaga dan idea buat XPDC, Izo mengemudi bahtera yang diterajuinya dengan cara tersendiri. Selepas ketiadaan Ali yang diuji masalah kesihatan, XPDC naungannya dilihat sedikit sepi tanpa sebarang publisiti.
Namun pada tahun lalu, saya sempat bertemu dengannya dan bertanya ringkas tentang hala tuju kumpulannya. Dan jawapannya cukup positif, ringkas dia menjawab masih lagi aktif dan bersedia kembali ke pentas, tetapi kali ini dengan fasa lebih eksklusif dan bernilai tinggi sejajar dengan pengalaman yang dimiliki.
Teka-teki akhirnya terjawab. Dalam sidang media pada 30 Julai lalu, XPDC mengumumkan akan membuat persembahan berskala besar dalam konsert XPDC Metalkestra yang bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur, pada 8 November ini.

Konsert yang dinantikan ini bukan sahaja bakal melepaskan rindu peminat tetapi pastinya menggamit nostalgia selepas Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam yang berlangsung pada tahun 1998 sekali gus meninggalkan kesan mendalam buat peminat mereka.
Menurut penganjur utama Republic Mokhmah Records, Abdul Musa Mokhtar, dia berbesar hati apabila berjaya membawa XPDC kembali ke pentas besar seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Baginya kejayaan membawa sebuah kumpulan ternama seperti XPDC yang punya puluhan ribu peminat setia adalah sesuatu membanggakan, malah dia sendiri tidak dapat menahan rasa teruja kerana cita-citanya terlaksana.
“Bukan sahaja peminat yang teruja, malah kami selaku penganjur juga mempunyai keghairahan yang sama untuk melihat XPDC beraksi bersama karya-karya hebat yang pernah dimiliki mereka sejak album pertama sehingga kini.
“Jika ada yang bertanya kenapa saya memilih mereka untuk konsert ini, jawapannya ringkas, iaitu kerana saya salah seorang peminat tegar mereka,” katanya yang turut menyifatkan konsert tersebut sebagai bukti muzik rock masih diterima peminat dan kekal relevan sepanjang zaman.
Mengangkat tema Metalkestra dalam penganjuran julung kali ini, dia menegaskan perlunya mencipta satu kelainan untuk dihadiahkan kepada peminat memandangkan mereka sudah lama tidak beraksi dalam skala besar malah idea tersebut turut dipersetujui oleh mereka.
Sementara itu, gitaris XPDC, Izo berkata, tema Metalkestra yang menggabungkan genre heavy metal dan orkestra bakal memberi pengalaman baharu dan segar kepada peminat.
Bukan sekadar mencipta keunikan tetapi ‘buah tangan’ sebegini perlu dihadiahkan kepada peminat kerana dalam fasa muzik era moden hari ini peminat perlu disajikan dengan penambahbaikan serta kualiti yang berganda.
“Peminat bukan hanya akan menikmati muzik yang sinonim dengan XPDC, tetapi gabungan orkestra akan menambahkan perisa dalam persembahan,”
“XPDC Metalkestra juga adalah penghargaan buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni kami sepanjang empat dekad ini. Konsert ini menjadi tanda aras bahawa XPDC tidak akan berhenti di sini.
“Walaupun terdapat lambakan kumpulan rock di Malaysia, tetapi karya-karya XPDC tidak pernah mati. Konsert ini juga bertujuan menarik generasi baharu yang mengenali XPDC melalui platform digital dan media sosial,” jelasnya.
Menurut sejarah, Allahyarham J.S. Kevin merupakan individu bertanggungjawab yang mengangkat nama kumpulan ini melalui karya masterpiece yang membawa perjalanan XPDC sehingga ke tahap ini.
Ledakan lagu-lagu hits seperti C.I.N.T.A, Nafisa, Kita Peng Yu, Hidup Bersama, Impian seroja dan CT Cinta Kenangan Silam, cukup sinonim dengan peminat malahan sering berkumandang di corong radio dan kekal relevan sehingga kini.
Menurut pemain dram, Lola, konsep Metalkestra yang diperkenalkan kali ini memberi tumpuan kepada tema ‘samurai’ yang selari dengan album tersebut yang pernah dikeluarkan sekitar tahun 2000 dahulu.
“Untuk konsert Metalkestra ni, memang kita ketengahkan konsep samurai, jadi kami berikan ruang kepada peminat yang hadir untuk datang memakai kostum yang bertepatan sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah serta cabutan bertuah.
“Selain itu, dua pembeli tiket dengan pakaian samurai terbaik akan berpeluang memenangi hadiah istimewa yang menawarkan tiga gitar Jackson Izo Signature,” ujarnya.
Tiket berharga RM198 hingga RM5,008 mula dijual pada 30 Julai lalu dan sebarang tempahan boleh layari: http://www.ilassotickets.com/konsertxpdcmetalkestra.










