PETALING JAYA: Indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka menguji tahap 1,770 mata minggu ini, didorong oleh kemuncak musim laporan kewangan suku tahunan khususnya daripada sektor perbankan.
Sektor perbankan yang merangkumi kira-kira 44 peratus daripada keseluruhan wajaran indeks bakal menjadi pemacu utama sentimen pasaran bagi separuh pertama 2026.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, prestasi bank-bank utama akan menjadi barometer kritikal terhadap daya tahan pendapatan pasaran ekuiti domestik, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025.
“Sekiranya laporan pendapatan bank mengesahkan kestabilan dividen dan pengurusan kos yang disiplin, ia akan memberikan momentum positif yang berterusan kepada FBM KLCI.
“Setakat tahun ini, Indeks Kewangan Bursa Malaysia sudah pun mencatatkan kenaikan melebihi sembilan peratus, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap sektor yang paling kukuh secara struktural ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi penutupan pasaran Jumaat lalu, FBM KLCI berakhir mendatar dengan peningkatan tipis 0.72 mata atau 0.04 peratus kepada 1,752.83 mata, selepas pulih daripada kerugian awal sesi pagi.
Indeks tersebut berjaya melantun hasil aktiviti memburu saham murah dalam kaunter perbankan berwajaran tinggi, meskipun sentimen pasaran secara meluas menyaksikan 728 kaunter rugi berbanding 353 kaunter untung.
Dari sudut aliran dana, pelabur asing dilaporkan kembali menjadi pembeli bersih, sekali gus memberi isyarat minat berterusan terhadap ekuiti Malaysia walaupun jumlah dagangan pasaran masih di bawah 1.93 bilion saham.
Dari sudut makro luar, perhatian pelabur minggu depan juga akan tertumpu kepada pengumuman data keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) pada Selasa bagi menilai jangkaan inflasi dan kadar faedah global.
Ketiadaan pengumuman data ekonomi domestik yang besar minggu ini akan mengekalkan fokus utama pelabur terhadap prestasi korporat tempatan dan perkembangan pasaran luar negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, prestasi bursa tempatan minggu ini dijangka banyak dipengaruh oleh keupayaan syarikat-syarikat besar mengekalkan margin keuntungan di tengah-tengah kos operasi yang meningkat.
Beliau menjangkakan keputusan kewangan syarikat bagi suku keempat 2025 akan terus menunjukkan trend pemulihan yang stabil, terutamanya bagi sektor yang berorientasikan domestik dan perkhidmatan.
“Keputusan kewangan yang positif bukan sahaja akan merangsang aktiviti dagangan, malah membuktikan bahawa syarikat tempatan mempunyai daya tahan yang tinggi dalam mendepani cabaran ekonomi global dan pelarasan dasar fiskal dalam negara.
“Pelabur akan memberi perhatian khusus kepada kenyataan masa hadapan daripada pihak pengurusan syarikat untuk menilai potensi pertumbuhan bagi baki tahun 2026,” jelasnya. – UTUSAN










