KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Natasha Hudson, 43, mengenang kembali detik-detik manis ketika aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amal Hope, yang memberi tumpuan kepada isu pelarian dan mangsa jenayah perang.
Menurut Natasha, sepanjang terlibat dengan kerja kemanusiaan, dia berpeluang bekerjasama dengan ramai individu hebat dan aktivis terkenal termasuk Musa, Nadir Al Nuri, Balqish dari Cinta Syria, serta sukarelawan daripada Global Peace Mission (GPM).
“Bersama-sama, kami melaksanakan misi bermakna, termasuk di Indonesia. Saya bangga melihat perkembangan dan impak mereka hingga hari ini,” katanya.
Selain itu, Natasha turut menzahirkan penghargaan kepada rakan seperjuangan dari Syria, antaranya aktivis media sosial Soccer Mouaz dan dan Tauriq, pengendali akaun Live Updates From Syria.
Pada masa sama, pelakon ini turut mengimbau kerjasama awal bersama Nadir Al Nuri ketika figura itu baru dikenali masyarakat.
“Dahulu, saya berpeluang untuk bekerjasama dengan saudara Nadir Al Nuri waktu dia baru sahaja bermula. Masa itu orang pun belum begitu mengenalinya.
“Bagi saya, dia seorang yang sentiasa rendah hati. Dia begitu gigih seperti adiknya Musa. Saya sangat mengaguminya sebagai seorang saudara Muslim, sahabat, dan rakan NGO.
“Saya juga amat bersyukur kerana banyak amanah dari sini telah dia sampaikan ke sana. Semoga Allah memberkati dia dan keluarganya selalu. Amal Hope mungkin akan kembali tidak lama lagi, Insha-Allah. Saya benar-benar rindu tugas dan kerja NGO saya. Ia penuh dengan darah dan keringat!”katanya.
Selain itu, Natasha turut memuji keberanian sukarelawan muda, Iylia Balqis yang pernah membantunya sebagai penterjemah ketika misi ke Jordan pada 2018.
“Iylia bukan juga calang-calang orangnya. Pertemuan pertama kali kami adalah pada 2018 sewaktu saya sertai misi ke Jordan. Kami ke Mafraq 5 minit ke sempadan Syria.
“Dia merupakan penterjemah saya dengan pelarian Syria dan banyak bantu saya mewakili Cinta Salam Malaysia. Saya juga berbangga dengannya, kini dia juga sedang dalam perjalanan ke Gaza. Semoga Allah melindungi kesemua peserta misi,”katanya.