KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham menyeru orang ramai supaya tidak mudah mengecam mana-mana selebriti atau individu yang menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla ke Gaza, sebaliknya terus mendoakan keselamatan mereka.
Menurut Issey, setiap insan mempunyai cara tersendiri dalam memberi sokongan terhadap rakyat Palestin, sama ada melalui tindakan, suara atau doa.
“Itu adalah tanggungjawab sendiri. Pergi menyertai misi kemanusiaan itu satu perjuangan, bersuara juga perjuangan.
“Apa yang penting ialah kita tidak terlalu negatif terhadap usaha orang lain. Jangan kita kecilkan perjuangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Issey, masyarakat perlu lebih menghargai keberanian peserta flotilla yang sanggup mengambil risiko ke zon bergolak demi membawa mesej solidariti dan kemanusiaan buat rakyat Gaza.
“Kita pun tidak seberani itu. Jadi apabila ada yang berani, sepatutnya kita kena sokong, bukan mengecam.
“Mereka pergi bukan atas tiket artis, tetapi atas rasa tanggungjawab dan kemanusiaan,” jelasnya.
Selain itu, Issey menegaskan, dalam isu Palestin, setiap usaha kecil mahupun besar wajar diraikan kerana semuanya mempunyai nilai perjuangan tersendiri.
“Kalau kita tidak mampu untuk berada di sana, kita boleh terus menyokong dengan doa dan menyebarkan kesedaran. Yang penting, jangan melemahkan semangat mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga,” katanya.
Misi Sumud Flotilla yang disertai aktivis kemanusiaan antarabangsa termasuk wakil dari Malaysia kini dalam perjalanan ke Gaza bagi menghantar bantuan serta mengetengahkan isu kekejaman rejim Zionis kepada dunia.