Membaca buat Evertts Gomes hilang dalam dunia - Utusan Malaysia

Membaca buat Evertts Gomes hilang dalam dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di saat dunia bergerak pantas, Evertts Gomes memilih untuk tenggelam dalam lembaran kata-kata. Di situlah dia menemui ketenangan dalam sebuah ruangan peribadi tanpa diganggu sesiapa.

Biarpun bergelut dengan masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang membuatkan tumpuan pelakon itu terganggu, membaca menjadi satu-satunya cara untuk dirinya kekal fokus.

Menurut Evertts, setiap helaian buku yang diselak bagai membawanya jauh dari realiti dan digantikan dengan kisah, watak serta dunia yang hidup dalam fikirannya.

“Saya ada ADHD yang membuatkan sukar untuk fokus. Saya juga susah kekal dengan sesuatu hobi dalam jangka masa lama. Namun, membaca buat saya hilang dalam dunia sendiri.

“Lagipun, ibu saya sudah melatih saya untuk membaca sejak bangku sekolah rendah lagi. Setiap buku yang saya baca, ibu saya minta jelaskan kepadanya semula jalan ceritanya.

“Didikan itu secara tidak langsung membuatkan saya memiliki photographic memory selain mudah mengingati apa yang dibaca,” katanya kepada Pancaindera.

Kata pelakon kelahiran Negeri di Bawah Bayu itu, dia gemar membaca apa sahaja bahan bacaan yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan selain meluaskan imaginasinya sebagai pembaca.

“Sebelum ini, saya ada satu tabiat di mana jika keluar bersama kawan-kawan, saya tidak akan ikut lepak bersama. Sebaliknya, saya akan pergi ke kedai buku dan membaca buku di sana.

“Saya suka membaca majalah, novel yang bertemakan fiksyen dan sains fiksyen. Kalau majalah saya sukakan majalah seperti National Geographic kerana kita boleh belajar sesuatu di situ.

“Jika tidak mempunyai bahan bacaan lain, saya juga suka membaca skrip sebab itu lebih dekat dengan kerjaya saya sebagai pelakon dan memudahkan saya untuk berimaginasi terhadap watak tersebut,” jelasnya.

Ditanya mengenai penulis buku yang digemarinya, pelakon berusia 27 tahun itu mengakui dirinya amat mengagumi hasil penulisan Agatha Christie dan Stephen King sehingga kini.

 

“Buat masa sekarang, penulis kegemaran saya adalah Agatha Christie dan juga Stephen King kerana ibu saya yang buat saya minat dengan buku itu. Sewaktu kecil dulu, buku-buku Agatha Christie juga banyak dijadikan siri adaptasi,” ceritanya.

Kerana terlalu obses dengan buku, Evertts bahkan mempunyai sebuah perpustakaan mini di kediaman ibu tercinta yang menyimpan ratusan koleksi bahan bacaan miliknya.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai lebih daripada 200 buku di rumah saya di Kota Kinabalu. Semua buku itu ibu saya simpan seperti sebuah perpustakaan.

“Itu pun belum termasuk jumlah buku yang ada di dalam stor simpanan dan kotak. Saya juga masih membaca buku-buku lama yang disimpan itu. Sekarang, adik saya juga sudah terikut-ikut suka membaca buku.

“Kebiasaannya orang beranggapan membaca ini adalah hobi dalam kalangan wanita. Tetapi saya mahu pecahkan stereotaip itu kerana buku merupakan bahan bacaan dan sesiapa sahaja boleh membaca tanpa mengira jantina,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN